Pengusaha Bitcoin seronok kaut jutaan ringgit atas derita rakyat


  • 112
  • Isnin, 28 Feb 2022

PENGUSAHA perlombongan bitcoin kaut untung berjuta dengan menggunakan elektrik curi.

PENGUSAHA perlombongan Bitcoin didakwa mengaut keuntungan berjuta ringgit di atas penderitaan orang ramai yang terpaksa menjadi mangsa sikap tamak mereka.

Sumber pihak berkuasa memberitahu Majoriti bahawa penggusaha ini didapati menjalankan operasi dengan menggunakan bekalan sumber elektrik yang dipercayai dicuri.

Akibat daripada tindakan mereka itu, masyarakat setempat termasuk premis kritikal yang turut berkongsi sumber bekalan elektrik terpaksa berhadapan dengan masalah gangguan bekalan elektrik, kerosakan pada peralatan elektrik dan lebih teruk lagi - kebakaran.

Majoriti turut dimaklumkan mengenai beberapa kes antaranya melibatkan bangunan yang terletak berdekatan dengan premis perlombongan bitcoin ini mengalami gangguan bekalan elektrik malah ada juga yang hangus terbakar.

“Premis perlombongan bitcoin ini sering menggunakan fius yang tidak mematuhi piawaian dan beban yang melebihi kapasiti kabel, jadi malang bagi “jiran” mereka apabila kebakaran berlaku, mereka turut terjejas.

"Terdapat juga keadaan di mana laporan telah dibuat mengenai gangguan bekalan elektrik di pusat dan klinik dialisis, dan setelah disiasat, pihak berkuasa mendapati ia berlaku kerana premis perlombongan bitcoin ini menggunakan sumber tenaga secara haram," kata sumber itu.



Premis perlombongan bitcoin ini sering menggunakan fius yang tidak mematuhi piawaian dan beban yang melebihi kapasiti kabel.

Aktiviti perlombongan bitcoin ini menggunakan sumber tenaga yang banyak memandangkan mesin untuk melombong itu terpaksa dibiarkan berjalan sepanjang masa.

“Setiap premis pula dimuatkan dengan puluhan atau ratusan mesin perlombongan dan mereka bergantung kepada penghawa dingin untuk membantu menyejukkan peralatan tersebut.

“Jadi bil elektrik mereka boleh mencecah sehingga RM40,000 sebulan untuk setiap premis, tetapi keuntungan mereka mungkin hanya lebih sedikit daripada jumlah terbabit.

“Itulah sebabnya mereka tiada pilihan selain menjalankan operasi dengan menggunakan sumber tenaga secara haram,” dakwa sumber terbabit.

Majoriti difahamkan ada di antara pengusaha pusat perlombongan bitcoin ini yang memiliki ratusan premis perlombongan.

Aktiviti perlombongan ini juga dipercayai telah tersebar hampir ke setiap negeri.

Majoriti difahamkan bahawa sindiket terbabit sanggup untuk membayar sehingga suku juta ringgit sebulan untuk mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa.



Sindiket perlombongan bitcoin yang didakwa menggunakan elektrik curi sanggup bayar sehingga suku juta ringgit sebulan untuk elak daripada di ambil tindakan.

"Perlombongan Bitcoin" ialah satu proses untuk menyelesaikan masalah matematik yang kompleks bagi membuka "kunci" untuk menghasilkan bitcoin baharu.

Pelombong perlu bersaing antara satu sama lain untuk memenangi hak untuk menambah blok seterusnya pada blockchain dan memperoleh ganjaran.

Hanya seorang pelombong boleh menambah blok baharu setiap 10 minit, dan untuk mengekalkan kelebihan dan daya saing, pengendali akan meningkatkan atau menaik taraf peralatan mereka, untuk membolehkannya beroperasi sepanjang masa.

Satu kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat mendapati bahawa satu transaksi bitcoin memerlukan 2209.41-kilowatt jam (kWj) (jumlah tenaga yang digunakan oleh perkakas 1,000-watt dalam tempoh lebih sejam).

Ini menyamai jumlah tenaga yang digunakan oleh purata isi rumah di negara tersebut selama 75.73 hari.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli ,Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata, negara kehilangan lebih RM2.3 bilion disebabkan aktiviti perlombongan bitcoin - peningkatan sebanyak 400 peratus, sejak empat tahun lalu.

Kerugian ini melibatkan sebanyak 7,209 kes iaitu 610 kes pada 2018, diikuti 1,043 kes (2019), 2,465 kes (2020) dan 3,091 kes pada 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram