305 mesin bitcoin bernilai RM610,000 kena sita di Hilir Perak


  • 112
  • Jumaat, 18 Feb 2022

MESIN bitcoin yang dirampas di daerah Hilir Perak, Perak pada Khamis. — Ihsan PDRM

POLIS Perak merampas 305 set mesin bitcoin yang dianggarkan bernilai RM610,000 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah Hilir Perak, Perak pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dengan dibantu juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad melakukan serbuan di tiga premis berasingan.

Tiga lokasi berkenaan adalah Taman Intan Baru, Jalan Kampung Banjar dan Taman Melor Sejati di Teluk Intan serta Medan Niaga Lagenda di Hutan Melintang, Bagan Datuk antara pukul 12 tengah hari dan 1.20 tengah hari pada Khamis.

"Semasa serbuan, pihak polis mendapati kesemua premis tiada penghuni dan ditinggalkan kosong. Hanya peralatan bitcoin dijumpai di setiap premis yang diserbu pihak polis.

"Serbuan dilakukan ke atas premis terbabit kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri arus elektrik serta merampas 305 mesin bitcoin dan beberapa peralatan dan server bitcoin," menurutnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3)(e) Akta Bekalan Elektrik 1990.

"Kami akan meneruskan operasi bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam usaha mengekang kecurian arus elektrik daripada terus berlaku yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan dan TNB," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram