Kes ugut beli rumah, SPRM beku aset, ambil keterangan bekas CEO Astro


  • 112
  • Jumaat, 25 Feb 2022

ROHANA memberi kerjasama bagi membantu siasatan SPRM. — Facebook

ASET dan akaun bank milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro, Datuk Rohana Rozhan dibekukan atas perintah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lapor media tempatan.

Menurut laporan itu, perintah berkenaan dikeluarkan ketika agensi antirasuah itu memulakan siasatan terhadap dakwaan bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner yang mengatakan diugut untuk membelikan sebuah rumah bernilai AS$10 juta di London.

"Perintah pembekuan aset itu dibuat di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, di mana ia melarang Rohana daripada melakukan sebarang transaksi melibatkan akaun bank miliknya di sama ada di United Kingdom (UK) atau dalam negara.

"Difahamkan Rohana mungkin membayar harga sebuah rumah di London menggunakan separuh daripada jumlah wang yang didakwa diberikan oleh Leissner, sementara baki wang itu disimpan dalam sebuah akaun di UK," kata laporan tersebut.

Menurut laporan Bernama, SPRM telah telah mengambil keterangan Rohana pada Khamis semalam, susulan pendedahan mengenai pemberian sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Amerika Syarikat.

Menurut sumber SPRM, proses mengambil keterangan itu dibuat di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dan berlangsung kira-kira sembilan jam bermula 9 pagi.

"Beliau telah memberikan dokumen-dokumen untuk membantu siasatan berkaitan perkara tersebut,” kata sumber itu pada Jumaat.

Sumber SPRM itu berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

"Siasatan perkara ini masih di peringkat awal dan beberapa lagi individu akan dipanggil untuk membantu siasatan,” kata sumber itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan daripada bekas eksekutif kanan itu.

"Akan ada saksi-saksi lain yang akan dipanggil dan kita masih meneliti perkara ini,” kata Azam.

Rumah di London dan nama bekas eksekutif kanan itu antara yang disebut dalam perbicaraan kes 1MDB di Amerika Syarikat oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc Tim Leissner, yang menyatakan mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.

Leissner telah mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Rohana Rozhan, ugut, 1MDB, aset, beku, rumah, london