'Kita tidak tamak, buat apa bertanding 56 kerusi dan kalah semua' — Tun M


  • Politik
  • Rabu, 23 Feb 2022

BEBERAPA faktor tertentu perlu diambil kira kerana ada kawasan yang tidak sesuai untuk Pejuang memandangkan ia adalah parti Melayu antaranya faktor kaum dan bangsa, usia serta kesetiaan kepada parti lain.

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan bertanding 42 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan kehendak rakyat dan kesesuaian komposisi pengundi.

Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beberapa faktor tertentu perlu diambil kira kerana ada kawasan yang tidak sesuai untuk Pejuang memandangkan ia adalah parti Melayu antaranya faktor kaum dan bangsa, usia serta kesetiaan kepada parti lain.

"Kita tidak tamak, buat apa bertanding di semua 56 kerusi dan kalah semua. Kita bertanding di tempat yang ada kemungkinan untuk menang," katanya pada sidang media sempena pelancaran Aspirasi Johor, yang merupakan tawaran Pejuang untuk rakyat Johor pada Rabu.

Ditanya peluang Pejuang pada PRN Johor itu, Mahathir berkata, pihaknya yakin mempunyai peluang yang baik.

Hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac, penamaan calon pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac.

"Kami sendiri (tidak menyertai mana-mana gabungan) tetapi kami mempunyai calon yang baik. Saya fikir kami boleh menyediakan kepimpinan yang diperlukan pada masa ini di Johor dan Malaysia," katanya.

Dalam sidang akhbar pertamanya selepas keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 13 Januari berikutan kejayaan menjalani prosedur perubatan elektif, Dr Mahathir berkata beliau ingin ke Johor untuk berkempen tetapi beliau belum pulih 100 peratus lagi.

Beliau berkata, doktor telah menasihatinya supaya berhati-hati kerana umurnya 97 tahun dan tidak dapat menjamin tidak dijangkiti Covid-19.

"Saya baru pulih daripada serangan serius tetapi saya sudah boleh berfungsi dengan baik dan saya tahu apa yang berlaku dalam negara. Saya tidak akan memimpin tetapi boleh menyumbang (pilihan raya Johor)," katanya.

Sementara itu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, senarai calon dan kawasan yang akan ditandingi Pejuang pada PRN Johor akan diumumkan esok di Muar, Johor.

Mengenai Aspirasi Johor, Mukhriz berkata tiga tumpuan dalam Aspirasi Johor ialah mengutamakan ekonomi rakyat tempatan, merapatkan jurang ekonomi antara daerah dan melawan rasuah.

"Tawaran ini datang daripada maklum balas diterima daripada pelbagai pihak dan sesi perbincangan dengan rakyat di lapangan, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik yang membantu merangka satu tawaran menyeluruh," katanya selepas majlis pelancaran Aspirasi Johor. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Pejuang, PRN, Johor, Mahathir Mohamad, calon