Polis sudah kenal pasti identiti penunggang superbike ‘merempit’ di jambatan P.Pinang


  • 112
  • Isnin, 28 Feb 2022

TANGKAP layar rakaman video berdurasi kira-kira 45 saat memaparkan penunggang dua motosikal berwarna merah dan biru melakukan aksi ‘wheelie’. — Instagram

POLIS telah mengenal pasti sekumpulan individu yang menunggang motosikal berkuasa tinggi secara berbahaya di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, dekat Balik Pulau, Pulau Pinang yang aksi mereka dirakam dan ditularkan di media sosial, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, berdasarkan rakaman video itu pihaknya telah mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal yang merakam dan terlibat di dalam aksi berbahaya tersebut.

"Ekoran kejadian itu, pihak kami menerima satu laporan polis dan sekarang ini kita sedang mengesan penunggang-penunggang motosikal tersebut bagi membantu siasatan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hamizah Ahmad Rosli di talian 013-2064 682 bagi membantu siasatan.

Terdahulu satu rakaman video berdurasi kira-kira 45 saat tular di media sosial memaparkan penunggang dua motosikal berwarna merah dan biru melakukan aksi ‘wheelie’ pada kelajuan tinggi iaitu lebih 280 kilometer sejam (km/j).

Malah, segelintir netizen mendakwa salah seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi itu merupakan pembantu peribadi (PA) seorang pendakwah terkenal, sementara seorang lagi individu terbabit dipercayai seorang guru. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram