PA pendakwah terkenal berlumba, MyWatch desak polis jangan pilih bulu


  • Massa
  • Ahad, 27 Feb 2022

AKSI pacak yang dipamerkan dua penunggang motosikal superbike yang dipercayai rakan kepada PA pendakwah terkenal itu. — Instagram

PIHAK polis tidak sepatutnya bersikap berdiam diri jika ada dalam kalangan individu berpengaruh didapati melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang negara.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengerusi Badan Pemantau Jenayah Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch), Datuk Sri Sanjeevan.

Beliau berkata, status sosial seseorang bukan penghalang untuk tindakan tertentu diambil terhadap kesalahan yang dilakukan mereka.

"Kejadian ini tidak sepatutnya terjadi dan pihak polis harus ambil tindakan terhadap individu yang terbabit dalam kejadian tersebut," katanya kepada Majoriti.

Pada Sabtu, tular di media sosial gambar-gambar sekumpulan penunggang motosikal berkuasa besar (superbike) merempit dan menunjukkan aksi berbahaya dipercayai di Jambatan Pulau Pinang.

Menerusi gambar-gambar yang dikongsikan di Facebook Wira Negara itu, kelihatan dua penunggang motosikal superbike Ducati mempamerkan aksi pacak di tengah-tengah jalan.

Gambar-gambar itu dipercayai adalah tangkap layar daripada rakaman video yang dimuat naik di Instagram Reels milik individu menggunakan nama Arief Farhan (@arieffarhanz).

Semakan Majoriti di Instagram pemilik akaun media sosial itu mendapati, rakaman video tersebut sebenarnya telah dimuat naik pada 14 Februari lalu.

Foto-foto tangkap layar itu kemudian dikongsikan Facebook Wira Negara, sebelum tular selepas Facebook Friends of PDRM (Polis Diraja Malaysia) memuat naik hantaran itu di laman mereka pada Sabtu.

Ada beberapa individu mendakwa individu yang merakam aksi itu adalah pembantu peribadi (PA) seorang pendakwah terkenal yang menunggang superbike lain dan mungkin menggunakan GoPro bagi merakam aksi tersebut.

Majoriti masih menunggu kenyataan pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram