TULAR di media sosial gambar-gambar sekumpulan penunggang motosikal berkuasa besar (superbike) merempit dan menunjukkan aksi berbahaya dipercayai di Jambatan Pulau Pinang, Pulau Pinang.
Menerusi gambar-gambar yang dikongsikan di Facebook Wira Negara itu, kelihatan dua penunggang motosikal superbike mempamerkan aksi pacak di tengah-tengah jalan.
Aksi mereka dipercayai dirakam seorang lagi pengguna motosikal lain dipercayai menggunakan kamera GoPro yang dipakai pada helmet.
Gambar-gambar itu dipercayai adalah tangkap layar daripada rakaman video yang dimuat naik di Instagram Reels milik individu menggunakan nama Arief Farhan (@arieffarhanz).
Semakan Majoriti di Instagram pemilik akaun media sosial itu mendapati, rakaman video tersebut sebenarnya telah dimuat naik pada 14 Februari lalu dan memperoleh sejumlah 9,271 tanda suka.
"285 kilometer sejam (km/j) kalau member tak brek tu dah 300 km/j. Tengah top speed dia brek biru muka kejap," tulis Arief Farhan pada hantaran tersebut dengan menggunakan runut bunyi Tiada Tangis Lagi nyanyian Ella.
TANGKAP layar status Facebook Wira Negara dan Friends of PDRM berhubung gambar-gambar aksi rempit itu. — Facebook
Foto-foto tangkap layar itu kemudian dikongsikan Facebook Wira Negara sejak Sabtu, sebelum tular selepas Facebook Friends of PDRM (Polis Diraja Malaysia) memuat naik hantaran itu di laman mereka pada Ahad.
"Tak kira motor kecil atau besar, kaya atau tidak, patuhlah pada undang-undang. Hormatilah pada pengguna jalan raya yang lain.
"Sampaikan ada persepsi mengatakan kalau (motosikal) kapcai cepat je kena tindakan, apa komen korang?," tulis Wira Negara menerusi hantaran berkenaan.
Friends of PDRM pula memuat naik kapsyen berbunyi, "285 km/j. Kalau bersepah rasa-rasa masih bernafas? Ingatlah jalan raya bukan litar lumba."
TANGKAP layar sebahagian komen yang ditinggalkan netizen terhadap gambar-gambar aksi rempit itu. — Facebook
Seorang pengguna Facebook menggunakan Daniel Rahman berkata, mohon pihak PDRM ambil tindakan terhadap penunggang motosikal terbabit.
"Mohon PDRM ambil tindakan..bukannya tak kenal," tulisnya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Farizal Coupe pula mempersoalkan sama ada individu terbabit ialah pembantu peribadi (PA) seorang pendakwah terkenal.
"PA Ebit Lew ke tu?" tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Afzal Zainal Rddz mempertikaikan sama ada kedudukan individu terbabit sebagai orang berpengaruh boleh membuatkan dia terlepas daripada undang-undang.
"Kalis undang-undang ke dia tu? Kalau tak baru kejap viral dah gigih pergi mencari," tulisnya.
Majoriti sedang menunggu kenyataan pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram