PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengundi muda bahawa parti gabungan itu bersifat ‘malar segar’, malah tidak pernah gagal atau terkhilaf memahami aspirasi golongan muda.
Dalam satu hantaran di Facebook rasminya, beliau menyifatkan, BN tetap relevan sejak 1973 dan perkara itu penting untuk pengetahuan pengundi muda bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac 2022.
"Muda bukan tentang usia parti, namun dasar dan agenda yang akan memanfaatkan golongan muda mahupun lama,” katanya.
Presiden Umno itu berkata, selain itu, BN adalah parti gabungan yang padu, kukuh, konsisten dan mampan berbanding parti gabungan lain dan kesalasilahan BN sebagai sebuah gabungan parti politik demi rakyat untuk rakyat tidak pernah diabaikan, dan memancarkan kestabilan sepanjang mentadbir negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, BN dibarisi gandingan pimpinan lama dan baharu yang padat dengan pengalaman, pengetahuan, idea serta inspirasi yang segar dan baharu, sekali gus mengangkat kepentingan rakyat setiap kaum, agama, jantina dan peringkat umur.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac 2022 sebagai hari pengundian dengan penamaan calon pada 26 Februari 2022, manakala pengundian awal pada 8 Mac 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram