Pentaksub kluster mahkamah dianggap ‘varian baharu’


  • Politik
  • Khamis, 17 Feb 2022

AHMAD Zahid mendakwa naratif itu dilakukan kerana beliau akan berkempen dalam PRN Johor. — Bernama

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pihak yang sentiasa meletakkan kesalahan kepada kluster mahkamah sebagai ‘varian taksub'.

Menurut beliau, golongan tersebut sentiasa menjadikan kluster mahkamah sebagai punca kepada segala isu yang berlaku di dalam negara.

“Ini bukan varian dari virus yang disebarkan oleh penyakit fizikal. Tetapi penyakit hati. Namanya 'varian taksub kepada kluster mahkamah’. Simptomnya mudah. Setiap hari mereka akan meratib, kluster mahkamah, kluster mahkamah dan kluster mahkamah.

“Pakatan Harapan (PH) tumbang, kluster mahkamah. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kluster mahkamah. PRN Melaka, kluster mahkamah. Dan sudah pastilah, PRN Johor, kluster mahkamah.

“Hampir tidak ada masalah dalam negara kita ini yang bukan berpunca dari kluster mahkamah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, turut mengulang sifir yang sama adalah Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa PRN Johor dilaksanakan demi kepentingan kluster mahkamah.

"Pada hakikatnya, tidak ada seorang dari pemimpin Umno yang dilabel kluster mahkamah ini yang bertanding di Johor.

"Dan walaupun semua mereka yang dilabelkan kluster mahkamah ini mengambil pendekatan menyerahkan semuanya kepada mahkamah," tegasnya.

Ahmad Zahid mendakwa naratif berkenaan berkemungkinan dilakukan kerana beliau dan rakannya akan turun ke Johor bagi berkempen dalam PRN di negeri itu.

“Atau barangkali ini cara Tun Mahathir sebenarnya mahu menempelak secara halus wakil kluster mahkamah dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut menjual naratif mahu menyelamatkan Malaysia bermula dengan Johor.

“Bak kata orang dulu-dulu, pukul anak sindir menantu,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut mendakwa mereka yang ‘dijangkiti varian’ itu juga akan menyatakan bahawa perkara yang berlaku di Johor adalah cerminan kepada perkembangan yang berlaku di peringkat pusat.

“Walaupun agak tidak logik dan tidak matang, tetapi naratif ini mudah disebarkan,” kata beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram