CALON baharu dan berpengalaman diyakini akan memberi impak kemenangan besar Barisan Nasional semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang kan diadakan pada 12 Mac depan.
Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, perkara itu berdasarkan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berjanji akan meletakkan lebih ramai calon baharu dan berpengalaman serta anak muda yang berpotensi membawa kestabilan politik di negeri Johor.
"Antara faktor lain yang boleh menjadikan kemenangan besar buat BN adalah kekurangan calon-calon Pakatan Harapan (PH) yang berkaliber dan pergolakan perebutan kuasa di dalam PH dan juga Perikatan Nasional (PN).
"Ditambah pula dengan sikap Parti Muda yang hipokrit dan masih tidak matang dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan semasa serta janji-janji manifesto yang membuatkan rakyat Johor menyampah dan tidak lagi akan termakan dengan janji-janji manis PH dan PN.
“Saya harapkan agar rakyat negeri Johor dapat bijak memilih dan mengundi demi sebuah kemakmuran bangsa, kestabilan ekonomi negeri dan membantu BN memenangi PRN Johor nanti,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, Umno dan BN telah banyak berubah dan belajar daripada kelemahan dan kekalahan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Tambahnya, dia juga momohon supaya kepimpinan atasan dapat meletakkan calon-calon muda yang berwibawa terutamanya dalam kalangan 26 orang Ketua Pemuda Bahagian bersama gandingan muka-muka lama yang berpengalaman dalam menarik sokongan rakyat negeri itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram