Warga emas alih sampan dikhuatiri lemas di Kuala Krai


  • 112
  • Sabtu, 26 Feb 2022

MANGSA sebelum itu memaklumkan kepada anaknya mahu pergi ke Pengkalan Lan untuk melihat sampan miliknya, namun tidak pulang ke rumah selepas dua jam. — Bernama

SEORANG warga emas dikhuatiri lemas setelah dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika mengalihkan sampan di Pengkalan Lan, Sungai Galas, Kampung Kuala Gris, Kuala Krai, Kelantan petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, sebelum kejadian, mangsa Mohammad Ishak, 70, memaklumkan kepada anaknya mahu pergi ke Pengkalan Lan untuk melihat sampan miliknya, namun tidak pulang ke rumah selepas dua jam.

"Hal ini menyebabkan anaknya menyusul ke Pengkalan Lan dan menemui motosikal serta beberapa barang milik ayahnya di tepi sungai tersebut.

"Anak mangsa membuat laporan Balai Polis Dabong pada pukul 10 malam Jumaat, selepas usaha mencari ayahnya gagal," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Bomba Nurul Alfisyahrin Mhd Zaki berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong telah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 8.40 pagi Sabtu.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas tersebut masih dijalankan dengan kerjasama Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) BBP Pengkalan Kubor dan Pengkalan Chepa serta Unit Anjing Pengesan (K9)," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, bomba, lemas, warga emas, Kuala Krai, kelantan,