SEMUA bilik gerakan banjir di bawah Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di Kelantan telah diaktifkan dan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi bencana banjir.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, agensi yang terlibat seperti pasukan keselamatan, wakil-wakil rakyat termasuk sukarelawan turut bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Jentera kerajaan sudah siap siaga dengan kerjasama bersepadu pasukan keselamatan, wakil-wakil rakyat termasuk pasukan sukarelawan untuk memastikan proses pemindahan dan agihan bantuan keperluan asas banjir berjalan lancar," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahmad menyeru supaya semua rakyat berwaspada dan mematuhi segala arahan keselamatan yang dikeluarkan termasuk arahan berpindah dan meningkatkan kawalan kendiri serta memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi terutama ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat 2 petang Sabtu, jumlah mangsa banjir di Kelantan terus menunjukkan peningkatan iaitu seramai 1,554 orang ditempatkan di 28 PPS dengan melibatkan empat jajahan iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram