HARI kedua banjir di Terengganu menyaksikan peningkatan mendadak jumlah penduduk terjejas kepada 2,525 orang daripada 712 keluarga pagi ini berbanding 1,237 orang daripada 339 keluarga pada Jumaat.
Peningkatan itu susulan penambahan 29 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ketika ini ialah sebanyak 51 buah di lima daerah.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Dungun menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di Terengganu dengan 69 individu daripada 24 keluarga ditempatkan di empat PPS ketika ini.
"Daerah Kemaman merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,203 orang daripada 328 keluarga di 18 PPS diikuti Hulu Terengganu (650 orang, 196 keluarga di 11 PPS), Setiu (198 orang, 71 keluarga di tujuh PPS) dan Besut (405 orang, 93 keluarga di 11 PPS).
Jumlah mangsa banjir di Kelantan juga terus menunjukkan peningkatan setakat 8 pagi ini, iaitu 853 orang daripada 237 keluarga berbanding 400 orang daripada 113 keluarga, malam Jumaat.
Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 21 PPS dibuka melibatkan masing-masing lapan di Tanah Merah dan Jeli manakala empat di Kuala Krai dan satu di Pasir Mas.
Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan beberapa sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.
Sungai berkenaan ialah Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli merekodkan bacaan 29.75 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.79 m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (21.50 m), Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (42.50 m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.32 m). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram