Tengku Amir Shah berkonvoi naik Vespa merah santuni mangsa banjir Selangor


  • Massa
  • Sabtu, 26 Feb 2022

TENGKU Amir mengetuai konvoi untuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kampung Kebun Bunga Shah Alam, pada Khamis lalu.

SEBANYAK 50,405 penerima daripada golongan yang terkesan pandemik Covid-19 telah mendapat manfaat daripada Program Kita Bantu anjuran Selangor Youth Community (SAY), setakat Januari lalu.

Mereka terdiri daripada keluarga B40, pelajar, peniaga kecil, petugas barisan hadapan dan yang terbaru, golongan yang terjejas akibat banjir besar pada Disember 2021.

Sejak tercetusnya idea itu pada April 2020, Program Kita Bantu telah menyalurkan pelbagai jenis bantuan sumbangan orang ramai dan pihak korporat seperti Sunway Group yang telah dikumpulkan melalui inisiatif Kita Bantu.

Kali ini, sumbangan telah diberikan oleh Lau Gek Poh Foundation diwakili Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Perniagaan Hap Seng Consolidated Berhad, Gary Pang kepada 50 buah keluarga yang terkesan dengan banjir di Selangor pada penghujung Disember 2021.

IMG_9631

SEBAHAGIAN penerima sumbangan di Kampung Kebun Bunga Shah Alam bergambar kenangan bersama Tengku Amir (lima dari kanan).

Sumbangan itu disampaikan kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk disalurkan kepada keluarga terlibat bertujuan membantu mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

Kesemua mangsa tersebut menerima sumbangan masing-masing dalam satu majlis ringkas bertempat di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya, pada 24 Februari lalu.

Menariknya, Tengku Amir juga sempat berkonvoi bersama skuad SAY menaiki sebuah Vespa berwarna merah untuk menyantuni dan menyerahkan sendiri bantuan kepada penduduk di rumah mereka yang terletak di Kampung Kebun Bunga Shah Alam.

Sumbangan yang disalurkan termasuk makanan basah dan kering, pek penjagaan kesihatan, barang keperluan elektrik dan alatan pembersihan yang diperlukan oleh mangsa banjir untuk bangkit semula daripada musibah yang melanda.

IMG_9550

TENGKU Amir (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk Kampung Kebun Bunga Shah Alam.

Bantuan barangan elektrik seperti pengisar, cerek jag elektrik, dapur gas, dan periuk nasi merupakan antara barangan yang diterima oleh penduduk di kawasan lain seperti Sungai Lui dan Batu 13, Puchong yang terjejas akibat bencana itu.

Sejak bermulanya banjir, pihak SAY bersama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) telah bertungkus-lumus untuk membantu mereka yang terkesan di beberapa daerah sekitar Selangor.

Antara kawasan terlibat ialah di Kuala Langat (melalui Majlis Belia Malaysia), Hulu Langat (melalui Yayasan Sukarelawan Siswa), Petaling serta Klang.

Program Kita Bantu anjuran SAY dengan kerjasama YRMS merupakan sebuah inisiatif untuk membantu individu serta keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram