JKM jumpa sukarela kebajikan OKU, jelaskan bantuan JKMPay


  • Primer
  • Sabtu, 26 Feb 2022

OBJEKTIF sesi libat urus itu ialah memberi penerangan berkaitan penambahbaikan perkhidmatan OKU dan pelaksanaan program rintis bayaran bantuan kewangan tanpa tunai atau dikenali sebagai JKMPay.

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengadakan sesi libat urus bersama Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada golongan itu.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataannya berkata, objektif sesi libat urus itu ialah memberi penerangan berkaitan penambahbaikan perkhidmatan OKU dan pelaksanaan program rintis bayaran bantuan kewangan tanpa tunai atau dikenali sebagai JKMPay.

"Perbincangan banyak menyentuh mengenai JKMPay. Penjelasan mengenai siapa yang terlibat dalam program JKMPay, bagaimana ia dilaksanakan dan apakah perkhidmatan yang disediakan di bawah JKMPay telah dijelaskan secara terperinci," katanya.

KPWKM menjelaskan, JKM akan terus memantapkan proses pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam selari dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) di bawah Pemangkin Dasar Empat, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu mempercepat penyampaian perkhidmatan awam supaya keberhasilan perkhidmatan dapat memberikan kesejahteraan rakyat seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama.

Tambahnya, KPWKM juga mengambil maklum isu-isu berbangkit kumpulan sasar kementerian dengan menggunakan pendekatan ‘Whole of Government’ dan ‘Whole of Nation’ supaya penggemblengan tenaga pelbagai pihak seperti PSK, agensi, korporat, pemimpin tempatan dan komuniti dimanfaatkan bagi menjayakan program khususnya penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada kumpulan sasar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KPWKM, OKU, libat urus, JKM, JKMPay