Tiada amaran tsunami, MetMalaysia pantau insiden gegaran


  • Primer
  • Jumaat, 25 Feb 2022

EVAKUASI melibatkan murid Sekolah Kebangsaan Sri Andalas, Klang susulan gegaran yang dirasai akibat kejadian gempa bumi yang melanda utara Sumatera. — Ihsan JBPM

TIADA amaran tsunami di Malaysia dilaporkan susulan kejadian gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter yang melanda utara Sumatera, Indonesia pada pukul 9.39 pagi Jumaat.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Met Malaysia akan terus memantau insiden tersebut dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Majoriti melaporkan penduduk di beberapa kawasan Pantai Barat Malaysia dikejutkan dengan gegaran yang berlaku di beberapa kawasan susulan kejadian gempa bumi yang berlaku di Sumatera.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur mengesahkan gegaran yang dirasakan itu disebabkan gempa bumi yang berlaku di Sumatera.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melibatkan 20 bangunan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur yang dilaporkan mengalami gegaran.

Antara panggilan yang diterima melibatkan bangunan-bangunan di Taman Miharja, Menara Glomac, Wisma BSN, Menara AmBank di ibu negara.

Sementara itu, JBPM Selangor menerima 14 panggilan kecemasan berhubung gegaran itu antaranya di Petaling Jaya, Shah Alam, Bagan Lalang, Sepang, Klang, Kajang dan Puchong.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, laporan keseluruhan sehingga kini tidak melibatkan sebarang kecederaan dan bomba akan membuat pemantauan di lokasi kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram