'Rasa pening, panik bila gegaran gempa di Sumatera dirasai di Malaysia'


  • Massa
  • Jumaat, 25 Feb 2022

GEMPA bumi kuat 6.1 pada skala Richter kira-kira pukul 9.40 pagi itu dirasai kebanyakan penduduk di Selangor, Negeri Sembilan, Putrajaya, Melaka, Pulau Pinang dan Johor. — Bernama

PENING dan panik, itu adalah antara reaksi orang ramai di beberapa negeri di pantai barat Semenanjung susulan gegaran yang dirasai berikutan gempa bumi yang melanda utara Sumatera, pada Jumaat.

Gempa bumi kuat 6.1 pada skala Richter kira-kira pukul 9.40 pagi itu dirasai kebanyakan penduduk di Selangor, Negeri Sembilan, Putrajaya, Melaka, Pulau Pinang dan Johor menyebabkan pekerja, penjawat awam dan peduduk di bangunan tinggi diarah keluar mengosongkan bangunan masing-masing.

Di Pulau Pinang, Azmah Ibrahim, 39, petugas di bangunan persekutuan di Jalan Anson berkata, gegaran yang dirasai beberapa saat menyebabkan beliau rasa pening.

"Gegaran itu sekejap sahaja, tapi saya rasa pening dan nampak papan tanda yang tergantung di pintu serta pokok hiasan di pejabat bergoyang, malah rakan sekerja saya yang berada di sebelah turut mengadu perkara sama seperti yang saya alami," katanya pada Jumaat.

Berkongsi perkara sama, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Syarikat Air Negeri Sembilan(Sains), Norzita Ismail berkata, rasa pening yang dialami sama seperti masa kejadian tsunami yang berlaku sebelum ini ketika beliau dan keluarganya berada di Pulau Pinang.

"Saya sedang menulis dan merasakan meja bergoyang... ingatkan saya pening (sakit kepala)...Pengurus Besar turut bertanyakan hal sama kepada kami kerana turut merasai gegaran itu. Kemudian pasukan keselamatan arahkan kami keluar segera dari bangunan," katanya.

Di Johor pula, penghuni Prima Residen Tebrau, Mohamad Isamuddin Mohamad Isa, 31, berkata, ketika kejadian beliau berkerja dari rumah dan merasakan kerusi yang diduduki bergegar sebelum isterinya menjerit mengatakan pintu rumah bergegar, menyebabkan mereka berdua berasa pening.

Sementara itu, seorang petugas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Putrajaya, Imran Ariff Mohd Amin berkata, gegaran yang dirasai menyebabkan beliau dan rakan sekerjanya agak panik sebelum mengambil keputusan untuk turun melalui tangga dari tingkat 29 ke aras bawah.

"Memang agak panik ketika turun tangga, tetapi kami cuba untuk kekal tenang seperti yang pernah dilakukan ketika sesi latihan kebakaran... latihan itu membantu dan bermanfaat ketika situasi luar jangka seperti ini," katanya yang memberitahu ketika kejadian, mereka sedang bermesyuarat.

Seorang lagi petugas KKMM, Saidatul Indaha Sulaiman yang berasa pening dan loya akibat gegaran sekitar lima hingga 10 saat itu, berkata: "Saya rasa melayang ketika gegaran itu berlaku dan air mineral di atas meja bergoncang...saya turun ke tingkat bawah dari tingkat 19”.

Rosly Rayappan, 35, yang bertugas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pula berkata, ketika kejadian beliau sedang menghadiri kursus dalam talian.

"Masa itu, peserta-peserta kursus dalam talian masing-masing bertanya satu sama lain sama ada ada merasai gegaran. Kami cepat-cepat keluar dari bangunan," katanya yang bertugas di unit Kawalan Kredit Komuniti.

Muhammad Qahar Sharudin, 37, yang juga petugas di KPKT berkata, beliau ketika itu tidak sedar bahawa gegaran itu berpunca daripada gempa bumi di Indonesia.

"Ketika itu saya ingat gegaran itu disebabkan kerja penyelenggaraan di kawasan berdekatan," katanya yang bertugas di bahagian Kejuruteraan Elektrik.

Sementara itu Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan negeri Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Ketua Menteri Melaka, Puhnita Devi a/p Durairaju berkata, kejadian itu yang menyebabkan kerusi, meja dan komputernya bergegar.

"Ketika itu terdapat kira-kira 30 kakitangan berada di dalam ruang berkenaan sebelum tercetus panik di kalangan mereka selepas merasai gegaran itu. Saya mengarahkan semua kakitangan untuk meninggalkan ruang pejabat dan bergegas ke tempat berkumpul yang dikhaskan di luar bangunan," katanya pada Jumaat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

gegaran, pening, panik, reaksi, gempa bumi, sumatera