Pengasuh, pengusaha antara 18 dipanggil kes kanak-kanak maut sangkut buaian


  • 112
  • Khamis, 24 Feb 2022

LAPORAN bedah siasat mengesahkan kanak-kanak tersebut meninggal dunia akibat tekanan di leher. — Gambar hiasan

POLIS memanggil 18 saksi setakat ini bagi membantu siasatan kes kanak-kanak perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri, setahun tiga bulan yang meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan di Seremban, Negeri Sembilan, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, antara yang dipanggil ialah ibu bapa kepada Nour Rania Asyifaa, pengasuh dan pengusaha taska.

"Siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut. Difahamkan, status pusat jagaan berkenaan yang beroperasi sejak 2019, masih belum berdaftar dan ia diarah tutup sementara selepas kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, laporan bedah siasat yang dijalankan Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban pada Rabu, mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat tekanan di leher.

Beberapa media sebelum ini melaporkan, kepala Nour Rania Asyifaa dipercayai tersangkut pada kain buaian ketika sedang tidur di pusat jagaan berkenaan dan dia disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sendayan oleh pegawai perubatan pada jam 4.30 petang, selepas pengasuh kanak-kanak itu membawanya ke klinik berkenaan untuk rawatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram