Penternak ikan rugi kerana air kotor di Kelantan


  • Massa
  • Rabu, 23 Feb 2022

BANYAK ikan mati kerana kekurangan oksigen disebabkan pencemaran air yang teruk. — Bernama

SEBANYAK 50 penternak ikan di Sungai Semerak, Pasir Puteh, Kelantan menggesa kerajaan negeri supaya mempercepatkan proses menggali semula kawasan kuala sungai berkenaan yang tertimbus sejak 20 tahun lepas akibat hakisan yang berlaku ketika musim tengkujuh.

Setiausaha Persatuan Ikan dalam Sangkar Sungai Semerak, Budin Awang Teh berkata, rata-rata penternak ikan di kuala sungai berkenaan terpaksa menanggung jumlah kerugian yang banyak akibat daripada pencemaran air.

"Banyak ikan mati kerana kekurangan oksigen disebabkan pencemaran air yang teruk malah saya juga turut mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila ikan yang diternaknya dua tahun lepas banyak yang mati," katanya.

Selain itu, seorang lagi penternak ikan Ong Yeong Tiang, 32, berkata, sekiranya pihak kerajaan tidak memandang serius isu ini ia akan menyebabkan ramai penternak terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu untuk menampung kerugian yang dialami.

"Saya mempunyai 50 sangkar ternakan ikan di sini yang diusahakan sejak 10 tahun lepas dan kerugian kasar yang terpaksa saya tanggung hampir mencecah RM1 juta," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, kebanyakan ikan yang diternak di kawasan ini mendapat permintaan daripada hotel-hotel ternama di Kuala Lumpur dan dieksport ke Singapura.

"Saya sangat simpati dengan nasib yang menimpa rata-rata penternak ikan di sini dan saya amat berharap agar pihak bertangungjawab dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera bagi memastikan nasib mereka terbela dan terjamin," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram