DERITA ruang parkir terhad penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Jalan Peel Kuala Lumpur nampaknya tidak akan menemui jalan penyelesaian buat masa ini apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi respons yang kurang memuaskan hati.
Penduduk rata-ratanya mengharapkan DBKL membina parkir bertingkat untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana mereka percaya hanya solusi itu yang paling sesuai untuk dilaksanakan.
Seorang penduduk dikenali sebagai Mohamed Khudos, 43, berkata, respons dikeluarkan DBKL itu agak mengecewakan sesetengah penduduk kerana terdapat ruang kosong di kawasan itu yang masih boleh digunakan untuk membina parkir bertingkat.
"Jika DBKL membuat parkir bertingkat, kita ada ruang kosong di belakang flat. Bolehlah mereka buat parking bertingkat untuk memudahkan untuk orang lain.
"Sebab parkir bertingkat pun tidak dapat dibina sekarang, mungkin penduduk pun masih berebutlah parking macam biasa," katanya.
Mohamed Khudos juga memberi cadangan untuk penduduk di situ mengambil inisiatif sendiri menyelesaikan isu parkir berkenaan dengan menerapkan sikap timbang rasa antara satu sama lain.
"Pelawat yang nak naik rumah lebih satu jam atau dua jam, parking luar dan jalan ke sinilah.
"Sebenarnya penduduk boleh gunakan cara ini. Tidak susah pun, kita boleh rancang dengan timbang rasa masing-masing," katanya.
Dalam pada itu, penduduk masih mengharapkan agar pihak DBKL mempertimbangkan untuk membuat parkir berpalang susulan ketakutan mereka terhadap kegiatan mencuri dilakukan oleh orang luar melalui 'lorong tikus'.
Pada Rabu, Majoriti melaporkan DBKL tidak mempunyai sebarang cadangan lagi untuk membina ruang parkir bertingkat di PPR Laksamana itu ekoran beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
Selain itu, pihak DBKL juga menyediakan sebanyak 34 kamera litar tertutup (CCTV) untuk menjaga keselamatan penduduk di sana agar tiada kes jenayah terjadi disebabkan isu ruang parkir itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram