Tidak sesuai bina parkir bertingkat di PPR Laksamana — DBKL


  • Massa
  • Rabu, 23 Feb 2022

SEBAHAGIAN kenderaan tersadai yang memenuhi ruang letak kenderaan di PPR Laksamana.

ISU ruang parkir yang terhad sudah lama menjadi dilema bagi penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Jalan Peel Kuala Lumpur hingga ada yang terpaksa menghalang kenderaan lain.

Antara solusi yang diharapkan penduduk PPR tersebut adalah supaya pihak berkuasa dapat membina sebuah bangunan letak kenderaan bertingkat sekali gus menambah ruang parkir buat penduduk.

Namun, Majoriti berhubung dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan perkara tersebut dan katanya, cadangan itu sudah dimaklumkan pada 2018.

"Pada 2018, PPR Laksamana Jalan Peel sudah disenaraikan bagi cadangan pembinaan tempat letak kereta bertingkat namun begitu cadangan pembinaan tidak dapat diteruskan kerana beberapa faktor.

"Buat masa ini juga, belum ada sebarang cadangan projek untuk membina ruang parkir bertingkat di kawasan itu," katanya.

Dalam pada itu, DBKL berkata, pihaknya juga terbuka untuk meneliti dan membuat kajian impak mengenai kesesuaian terhadap cadangan berkaitan parkir berpalang.

Jelasnya, cadangan daripada penduduk untuk membuat tempat letak kereta berpalang perlu dikemukakan terlebih dahulu kapada DBKL.

Lambakan kereta tersadai dan masalah sosial

Selain keluhan kawasan parkir, lambakan kereta tersadai juga menjadi antara isu yang dibangkitkan penduduk.

Menurut DBKL, buat masa ini, pihaknya sedang berdepan masalah kerana depoh simpanan kenderaan buruk sentiasa penuh.

"Proses pelupusan pula memakan masa yang sangat lama kerana melibatkan agensi luar seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sebelum ini kita pernah memperkenalkan pelekat kenderaan PPR namun ia melibatkan kos yang tinggi dan kurang memberikan impak.

"Cadangan untuk memperkenalkan semua idea ini perlu dikaji semula tahap keberkesanannya," katanya.

Ditanya sama ada isu masalah parkir di PPR ini membawa kepada kes jenayah, DBKL berkata, pihaknya sentiasa memastikan keadaan jenayah di kawasan PPR terkawal.

Jelasnya, buat masa ini sebanyak 34 kamera litar tertutup (CCTV) di empat blok telah dipasang.

"DBKL sedang mengkaji untuk menambah lagi CCTC bagi tujuan pemantauan di luar bangunan namun perkara tersebut bergantung kepada kos yang terlibat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram