ISU masalah kawasan meletak kenderaan yang terhad di Projek Perumahan Rakyat (PPR) bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah dibangkitkan sejak bertahun yang lalu.
Malah, pertambahan kereta bagi sebuah rumah dari semasa ke semasa membuatkan isu kawasan letak kereta yang terhad tidak bertemu jalan penyelesaian.
Ada yang menyalahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana tidak peka dengan kesulitan yang dihadapi penduduk PPR.
Namun bagi Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Laksamana, Jalan Peel, Kuala Lumpur, Muslim Ismail, isu kawasan letak kenderaan yang terhad tidak boleh disalahkan sepenuhnya kepada DBKL.
PENGERUSI Persatuan Penduduk PPR Laksamana, Jalan Peel, Kuala Lumpur, Muslim Ismail.
"Saya bercakap mengikut situasi keadaan semasa di mana sebuah rumah sudah mempunyai lebih daripada satu kenderaan dan bukan seperti dulu. Sebab itu berlaku kesesakan.
"Tetapi semua kena fahamlah dan ini juga berbalik kepada sikap penghuni. Contoh seperti ada yang meletakkan kenderaan di hadapan kenderaan lain tetapi tidak melepaskan brek tangan.
"Jadi sikap pentingkan diri ini akan menyusahkan orang lain sedangkan dalam ruang letak kenderaan yang terhad, kita kena bertolak ansur.
"Itu belum lagi pemilik kenderaan yang membiarkan kenderaan mereka tersadai lama. Setakat ini kita mengesan terdapat lebih 30 kenderaan yang dibiarkan tersadai," katanya kepada Majoriti.
Ketiadaan sikap tolak ansur itu kata Muslim yang membuatkan isu ruang letak kenderaan yang terhad ini membawa kepada isu yang lain seperti pertengkaran dan masalah yang lain.
Buat pos pengawal dan pintu masuk berpalang
Ditanya mengenai laluan masuk berpalang, Muslim berkata, idea itu telah dibincangkan sebelum ini namun tidak menemukan kaedah yang terbaik untuk dilaksanakan.
"Memang ada dalam kalangan penduduk yang mengesyorkan supaya pintu masuk dibuat palang agar hanya penghuni sahaja yang masuk.
"Tetapi siapa pula yang akan bertugas di pondok pengawal? Ada yang minta supaya Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang bertugas.
"Takkan kita nak letak orang itu bertugas tanpa bayaran. Semua itu perlukan duit dan kos. Semua itu perlu difikirkan dahulu barulah boleh laksanakan pintu masuk berpalang," katanya
Menurut Muslim, disebabkan itu juga pihaknya tampil dengan idea memperkenalkan pelekat kenderaan blok supaya tiada kenderaan luar yang meletakkan kenderaan di kawasan PPR.
Buat masa ini katanya, ada beberapa kenderaan luar yang dikesan meletakkan kenderaan di PPR disebabkan lokasi itu berdekatan dengan pengangkutan awam dan tidak berbayar.
"Jadi kita ambil pendekatan untuk perkenalkan pelekat kenderaan khas supaya hanya penduduk sahaja yang boleh meletakkan kenderaan di dalam kawasan PPR," katanya.
MUSLIM menunjukkan lokasi yang dicadangkan bagi membina parking bertingkat bagi penduduk PPR Laksamana.
Parking bertingkat penyelesaian terbaik
Tidak menafikan ruang letak kenderaan bertingkat sebagai jalan penyelesaian yang terbaik, Muslim berkata, hampir semua penduduk di PPR Laksamana bersetuju dengan idea tersebut.
Malah katanya, pada 2021, ada beberapa orang kontraktor yang sudah datang melihat tapak untuk ruang letak kenderaan bertingkat namun sehingga kini masih tidak dilaksanakan.
"Kontraktor ada datang untuk melihat kawasan bagi membina parking bertingkat. Tetapi setakat itu sahaja dan tiada perkembangan baharu sehingga kini.
"Saya kalau boleh berharap supaya parking bertingkat dapat dibina dengan segera kerana itulah penyelesaian yang terbaik buat masa ini," katanya.
Menurut Muslim, isu lambakan kereta di PPR akan sentiasa wujud dan walaupun parking bertingkat disediakan.
Tetapi katanya, hanya itulah jalan penyelesaian yang terbaik buat masa ini dan mampu memberi keselesaan kepada penduduk PPR daripada terpaksa berebut dan bergaduh hanya kepada ruang letak kenderaan yang terhad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram