Pecah rekod lagi, Malaysia catat 31,199 kes baharu Covid-19


  • Primer
  • Khamis, 24 Feb 2022

KES harian Covid-19 terus meningkat pada Sabtu. — Gambar hiasan

KES harian baharu Covid-19 negara kembali mencatatkan rekod tertinggi apabila mencatatkan 31,199 kes baharu pada Rabu berbanding 27,179 kes yang dicatatkan pada Selasa.

Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di Malaysia kepada 3,305,157 kes setakat ini.

Menurut laman COVIDNOW, daripada jumlah berkenaan, Selangor merupakan penyumbang terbesar kes dengan 7,798 kes baharu direkodkan, diikuti Sabah (3,971), Kedah (2,684) dan Pulau Pinang (2,575).

Sementara itu, sebanyak 20,399 kes sembuh baharu direkodkan pada Rabu, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kepada 2,994,840.

Selain itu, sebanyak 305 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dengan 191 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan, daripada 31,199 kes yang dilaporkan pada Rabu, sebanyak 194 kes (0.62 peratus) adalah kategori 3, 4, 5 manakala 31,005 kes (99.38 peratus) terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Sebanyak 14 kluster baharu dicatatkan pada Rabu, sekali gus menjadikan jumlah kluster mencecah 6,746. Daripada jumlah berkenaan, hanya 506 kluster masih aktif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram