KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan parasetamol di negeri ini sama ada di pasaran atau menerusi sistem e-aduan.
Pengarahnya Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, ini berdasarkan pemeriksaan sejak Januari lepas sehingga Rabu terhadap 213 premis melibatkan farmasi, kedai ubat-ubatan dan kedai serbaneka.
"Menerusi pemeriksaan itu, bekalan parasetamol di Negeri Sembilan masih mencukupi dan mudah diperoleh orang awam setakat ini.
"Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan bahawa ubat-ubatan asas seperti parasetamol mendapat permintaan tinggi di pasaran ketika ini berikutan penularan jangkitan COVID-19 menerusi varian Omicron,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Justeru, Ain Arjuna mengingatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik dan membeli dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.
Katanya, pengguna juga tidak seharusnya tertumpu pada satu jenis jenama sahaja kerana terdapat pelbagai jenama parasetamol di pasaran.
Tambahnya, pihaknya akan meneruskan pemantauan untuk memastikan tiada masalah bekalan bagi item tersebut dan pengguna juga boleh menyalurkan aduan melalui portal kementerian itu di https://eaduan.kpdnhep.gov.my dan talian WhatsApp 019-2794317. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram