MB Selangor jawab isu video beratur panjang terima bantuan


  • Primer
  • Rabu, 23 Feb 2022

MAJORITI pemohon memilih untuk mengambil wang bantuan secara tunai dan hadir lebih awal berbanding masa ditetapkan ke pusat pemberian bantuan berkenaan.

PEMOHON yang masih belum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diminta agar mematuhi waktu janji temu ditetapkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mengelakkan daripada beratur panjang dan kesesakan di tempat disediakan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, majoriti pemohon memilih untuk mengambil wang bantuan secara tunai dan hadir lebih awal berbanding masa ditetapkan ke pusat pemberian bantuan berkenaan.

Beliau berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Klang telah memberi pilihan kepada pemohon untuk menerima bantuan secara tunai atau pindaan dana elektronik (EFT) ke dalam akaun bank mereka.

"Keadaan menjadi sukar dikawal berikutan majoriti memilih untuk hadir lebih awal berbanding masa ditetapkan melalui mesej diterima dalam SMS, menyebabkan pemohon hadir beberapa jam lebih awal daripada waktu janji temu yang ditetapkan.

"Hadirlah pada hari dan masa yang diberi. Insya-Allah dengan kerjasama dan persefahaman semua pihak, penyaluran BSB akan menjadi lebih lancar dan selesai mengikut tempoh masa ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau mengulas berhubung insiden pemohon bantuan banjir yang beratur panjang di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kota Kemuning seperti yang tular pada Selasa.

Dalam rakaman video berkenaan, orang ramai dilihat beratur panjang kira-kira dua kilometer di Dewan MBSA Kota Kemuning, Seksyen 23, Shah Alam, Selangor untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Pegawai Daerah Klang, Mohd Faizal Abdul Raji berkata, sehingga Selasa, pihaknya melaksanakan sebanyak 32 sesi penyerahan BSB melibatkan peruntukan sebanyak RM32.617 juta telah diagihkan.

"Proses pengagihan ini juga turut mendapat kerjasama pihak Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) Selangor yang menguruskan penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan Persekutuan.

"Hari ini sebanyak lima lagi sesi penyaluran BSB dilaksanakan menyasarkan 13,996 orang penerima di lima lokasi penyaluran,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram