Dua ditahan terlibat kes tetak di Sungai Petani


  • 112
  • Rabu, 23 Feb 2022

TANGKAP layar kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian samun dan tetak seorang peniaga pada Ahad lalu.

POLIS menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kes samun dan tetak seorang lelaki di Taman Seruling, Sungai Petani, Kedah pada Ahad lalu.

Difahamkan, kejadian melibatkan mangsa yang juga seorang peniaga berusia lingkungan 50-an itu berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika mangsa sedang berjalan kaki dari kedai berdekatan ke rumahnya.

Ketika tiba di hadapan rumanya, dua suspek yang menaiki motosikal telah meluru ke arahnya dan seorang daripada suspek telah menetak kaki mangsa dengan menggunakan sebilah parang sebelum melarikan telefon bimbit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, kedua-dua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan pada Selasa.

"Suspek pertama berusia 34 tahun ditahan dalam serbuan di Taman Ria Jaya pada pukul 6.30 petang dan turut merampas sebuah beg silang warna coklat, sekeping resit kedai emas, motosikal jenis Honda EX5 dan topi keledar warna hitam.

"Soal siasat terhadap suspek membawa kepada penahanan suspek kedua berusia 18 tahun di di Flat Paya Nahu, kira-kira sejam kemudian dan sebilah parang turut dirampas disyaki digunakan dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Anuar, siasatan awal mendapat kedua-dua suspek mengaku terlibat dengan kejadian samun dan seorang daripada suspek juga mengaku menetak mangsa.

Tambahnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram