Iran miliki kapasiti bekal gas asli kepada dunia


  • Benua
  • Rabu, 23 Feb 2022

IRAN berupaya meningkatkan pengeluaran gas asli dan melaksanakan projek penting dalam sektor minyak dan gas. — Reuters

PRESIDEN Iran, Ebrahim Raisi mengisytiharkan negaranya bersedia untuk membekalkan gas asli kepada dunia, termasuk Eropah.

Berucap pada sidang kemuncak keenam Forum Negara Pengeksport Gas (GECF) di Doha, Qatar, pada Selasa Raisi berkata, sebagai antara pemegang rizab gas asli terbesar dunia, Iran mempunyai kapasiti untuk membekalkannya untuk dunia.

Beliau turut menyeru komuniti antarabangsa menyokong inisiatif yang bertujuan untuk memastikan keselamatan pasaran tenaga global.

Ini adalah lawatan luar negara keempat Raisi sejak memegang jawatan Ogos lalu dan kunjungan pertamanya ke Qatar.

Raisi berkata, Iran berupaya meningkatkan pengeluaran gas asli dan melaksanakan projek penting dalam sektor minyak dan gas dengan menggunakan kepakaran dan sumber domestik.

Beliau berkata, sekatan yang dikenakan tidak lagi berkesan dan menggesa kerjasama lebih erat dalam kalangan negara pengeksport gas untuk mengabaikan sekatan.

Kenyataan itu dibuat Raisi di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara Rusia dan Barat berhubung krisis Ukraine.

Harga minyak pada Selasa mencecah US$100 (RM418) setong, tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun.

Niaga hadapan gas asli Eropah juga membimbangkan, meningkat lebih 13 peratus, apabila Rusia membekalkan lebih satu pertiga daripada penggunaan gas di benua itu.

Sementara itu, Menteri Minyak Iran, Javad Oji dalam satu temu bual di televisyen berkata, di sebalik penggunaan domestik dan eksport yang tinggi, banyak kawasan gas sedia ada masih kukuh dan kawasan baharu turut ditemukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, banyak perjanjian telah dirancang dengan negara pengeksport gas untuk pembangunan kawasan minyak dan gas, pembinaan semula kilang penapisan, dan pemindahan perkhidmatan teknikal serta kejuruteraan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram