POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki menunggang motosikal secara berbahaya dan bertindak membaling sebatang sepana ke arah sebuah kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki warga tempatan berusia 38 tahun itu ditahan di Taman Wangsa Melawati pada jam 3.30 petang, Selasa.
"Hasil semakan, suspek tiada rekod kesalahan lampau, kita akan memohon reman esok bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Eng Lai berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki pada pukul 4 petang mengenai kejadian itu.
"Ketika mangsa sedang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, ada sebuah motosikal telah memotong dari arah kanan kenderaan itu secara berbahaya.
"Terkejut dengan tindakan penunggang motosikal itu, mangsa telah membunyikan hon sebagai tanda amaran," katanya.
KEADAAN cermin kereta Toyota Vellfire yang dilempar dengan sepana oleh seorang penunggang motosikal. — Ihsan PDRM
Eng Lai berkata, suspek kemudiannya menunjukkan isyarat lucah gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu MPV itu.
"Mangsa bagaimanapun tidak melayan tindakan suspek dan meneruskan pemanduan. Namun secara tiba-tiba penunggang motosikal tersebut telah membaling sepana sehingga menyebabkan cermin belakang kenderaan itu pecah," katanya.
Beliau berkata, kejadian berkenaan dirakam oleh pemandu kenderaan tersebut.
"Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram