OPERASI Bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan tujuh bot nelayan yang disyaki melakukan kegiatan penjualan minyak diesel kepada bot warga asing.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, kegiatan tidak bertanggungjawab itu dikesan melalui risikan selama seminggu bersama PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sempadan Malaysia-Thailand.
"Dalam operasi 7.30 malam semalam pihak PPM telah menahan tujuh bot nelayan tempatan bagi tujuan pemeriksaan ketika bot-bot itu melalui Markas PPM.
"Soal siasat awal juga mendapati kesemua nelayan bot ini mengakui membawa bekalan minyak diesel secara tidak sah untuk dijual kepada bot nelayan asing di tengah laut di perairan negara," katanya kepada pemberita pada sidang media di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Azanizam berkata, hasil pemeriksaan ke atas semua bot ditahan mendapati setiap satu bot berisi antara 1,000 hingga 3,000 liter minyak diesel dengan jumlah keseluruhan diesel adalah 24,800 liter ditemukan di dalam tangki simpanan termasuk yang telah diubah suai.
"Nilai keseluruhan minyak diesel yang dirampas adalah RM45,871 manakala anggaran tujuh buat bot yang disita adalah RM1.25 juta dan kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dan sekiranya disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu dan RM2 juta bagi syarikat," katanya.
Mengulas lanjut Azanizam berkata, kegiatan itu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari dan kebiasaanya dilakukan pada waktu malam bagi menggelak daripada dikesan pihak berkuasa.
"KPDNHEP memandang serius perbuatan ini dan memberi amaran bahawa undang-undang tegas akan diambil bagi menggelak penyelewengan sehingga mengakibatkan gangguan bekalan kepada pengguna lain," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram