POLIS menerima dua laporan mengenai dua kejadian kekecohan yang berlaku di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Buntong di Ipoh yang kedua-duanya mempunyai kaitan, sehingga tular dalam media sosial pada malam Sabtu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes pertama adalah mendatangkan kecederaan oleh seorang lelaki dengan menggunakan senjata tajam di satu kawasan di Buntong sehingga menyebabkan tiga individu mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di HRPB.
"Punca kejadian disyaki perselisihan faham antara dua keluarga mengenai isu percintaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah," katanya.
RAKAMAN video tular kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan HRPB. — Facebook
Mior Faridalathrash berkata, kes kedua diterima pada pukul 12.20 tengah malam Sabtu di HRPB melibatkan sekumpulan lelaki yang ingin menghantar mangsa cedera (dalam kes pertama) ke hospital dan berlaku perselisihan faham dengan pengawal keselamatan hospital kerana terlalu ramai ingin masuk ke kawasan zon kecemasan.
Beliau berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan sampai ke tempat kejadian dan mengawal keadaan serta kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Menurutnya, polis sedang mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kedua-dua kes berkenaan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Fadli Ahmad menerusi talian 019-2500019.
"Beberapa video dalam media sosial tular memaparkan pergaduhan oleh sekumpulan lelaki dengan pengawal keselamatan sehingga sebuah kereta dilihat merempuh pekarangan hospital tersebut," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram