448 murid di Gua Musang terima subsidi tambang bas sekolah


  • Primer
  • Ahad, 20 Feb 2022

KESEDAR akan memberikan subsidi tambang sekolah sebanyak 77 peratus untuk murid di Gua Musang. — Gambar hiasan/The Star

SEBANYAK 448 murid yang tinggal di Taman Agropolitan Rantau Manis, Gua Musang, Kelantan bakal menikmati subsidi tambang bas untuk ke sekolah yang ditanggung oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Pengurus Besar Kesedar, Dr Shahrir Mohammad Zakey berkata, mereka terdiri daripada 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Renok Baru, 225 murid SK Jeram Tekoh dan 123 murid Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Asap.

"Tambang sebenar bas sekolah berkenaan adalah sebanyak RM88 sebulan bagi setiap murid tetapi Kesedar akan memberikan subsidi sebanyak 77 peratus.

"Ini bermakna ibu bapa hanya perlu membayar RM20 seorang untuk sebulan. Jumlah subsidi yang ditanggung oleh Kesedar hampir RM11,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Shahrir berkata, perkhidmatan bas berkenaan akan bermula pada 20 Mac ini iaitu apabila sesi persekolahan bagi tahun 2022 dibuka.

Menurutnya, usaha yang dilakukan itu adalah salah satu komitmen Kesedar untuk memastikan anak-anak bekas peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan (PAKS) Rantau Manis dapat mengikuti sesi persekolahan seperti biasa.

Katanya, PAKS merupakan satu projek yang melibatkan perjanjian usahasama antara Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kesedar bermula 5 Disember 2011 sehingga 31 Disember 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram