Budak kena Covid-19 berisiko alami radang organ, Long-Covid


  • Primer
  • Ahad, 20 Feb 2022

VAKSINASI dapat mengurangkan risiko penyakit Covid-19 yang serius dalam kalangan kanak-kanak. — Gambar hiasan/Bernama

KANAK-KANAK bawah 18 tahun yang dijangkiti Covid-19 boleh mengalami Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) iaitu keadaan kritikal yang boleh berlaku apabila terjadinya keradangan organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru dan otak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak Jun 2020 hingga Disember 2021, sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, daripada jumlah, sebanyak 24 kes membabitkan kanak-kanak berusia bawah setahun, 1 hingga bawah 5 tahun (38 kes), 5 hingga bawah 9 tahun (64 kes), 9 hingga bawah 12 tahun (36 kes) dan 12 tahun ke atas (11 kes).

"Sehingga kini, tujuh kes (4 peratus) kematian kanak-kanak telah disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan Covid-19. Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-Covid (sindrom Covid-19 selepas fasa akut jangkitan),” katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 pada Ahad.

Beliau berkata, kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan Covid-19 serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung dan kencing manis.

"Selain itu ialah lemah sistem imun badan, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma dan obesiti," katanya.

Penggunaan katil pesakit kanak-kanak meningkat

Memandangkan kanak-kanak kini merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19, Noor Hisham berkata, antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko berkenaan adalah dengan kawalan kendiri dan vaksinasi.

Beliau berkata, vaksin Covid-19 Comirnaty® (Pfizer-BioNTech) telah diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Malaysia dan daripada kajian klinikal, keberkesanannya adalah sebanyak 91 peratus serta berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit Covid-19.

Katanya, ini dapat mengurangkan risiko penyakit Covid-19 yang serius.

"Pemberian vaksin kepada golongan kanak-kanak yang berusia 5 hingga 11 tahun ini adalah tepat pada masanya untuk melindungi kumpulan ini khususnya kanak-kanak yang mempunyai komorbid.

"Kanak-kanak golongan umur 5 hingga 11 tahun perlu diberi dua dos vaksin dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pola penggunaan katil harian pesakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun semakin meningkat berikutan kenaikan kes jangkitan virus itu di dalam negara dengan peningkatan dilihat lebih ketara pada Februari 2022 terutama bagi kategori dua hingga lima.

Katanya, bermula awal Januari hingga pertengahan Februari 2022, bilangan kanak-kanak bawah 12 tahun yang dijangkiti Covid-19 adalah seramai 50,826 orang.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu, 15,817 merupakan kategori satu, 34,857 kategori dua, 120 kes (kategori tiga), 28 kes (kategori empat) dan empat kes (kategori lima).

Katanya, pola penggunaan katil harian pesakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak remaja berusia 11 hingga 17 tahun juga meningkat.

Beliau berkata, ini mungkin disebabkan oleh penularan varian Omicron serta peningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram