Tak diterima kerja, warga Myanmar pukul pemilik bengkel di Ampang


  • 112
  • Sabtu, 19 Feb 2022

SUSPEK ditahan reman sehingga Selasa depan.

POLIS menahan seorang warga Myanmar berusia 31 tahun selepas didakwa menyerang pemilik bengkel di Pandan Mewah, Ampang, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek pergi ke bengkel itu kira-kira jam 3.20 petang Jumaat dan memukul kepala serta tangan mangsa menggunakan sebatang besi.

“Dia turut memecahkan cermin tiga kereta milik pelanggan mangsa.

“Kami percaya suspek bertindak sedemikian kerana mangsa enggan mengambilnya bekerja,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Tambahnya, anggota polis bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan dan berjaya menahan suspek.

"Batang besi yang digunakan suspek turut dirampas. Suspek merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan dia ditahan reman sehingga Selasa depan," katanya lagi.

Mohamad Farouk menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan supaya menghubungi polis secepat mungkin. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram