Tak pernah paksa ibu bapa vaksin anak — Ismail Sabri


  • Primer
  • Jumaat, 18 Feb 2022

ISMAIL Sabri ketika menghadiri Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Taman Nusantara, Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat. — The Star

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan tidak pernah memaksa ibu bapa mendaftarkan anak mereka mengambil vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Beliau berkata, tanggapan segelintir ibu bapa bahawa kerajaan seolah-olah memaksa kanak-kanak mendapatkan vaksin Covid-19 menerusi PICKids adalah tidak benar kerana mereka diberi pilihan untuk berbuat demikian.

"Kita ada bincang dalam Kabinet mengenai perkara ini. Tiada paksaan untuk rakyat, sama ada hendak ambil vaksin ketiga, keempat, kelima... tiada paksaan juga untuk rakyat terutamanya kanak-kanak ini diberikan vaksin.

"Dulu pun di peringkat awal ketika vaksin dos pertama, ramai yang tidak berminat atau pun takut untuk vaksin, (namun) selepas itu berebut-rebut pergi untuk mendapatkan vaksin jadi vaksin kedua tidak lagi menjadi isu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Taman Nusantara, Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya mengenai kadar vaksinasi PICKids masih di bawah 10 peratus dan nasihat beliau kepada ibu bapa.

Setakat Khamis, seramai 341,960 atau 9.6 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui PICKids.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kadar pemberian dos penggalak juga sudah meningkat meskipun sebelum ini pelbagai cerita negatif ditimbulkan mengenai vaksin tersebut.

"Ketika ini, saya difahamkan booster (penggalak) memang ramai (ambil) setiap hari. Cuma untuk kanak-kanak, mungkin perkara ini baharu, jadi ia normal kepada rakyat kita.

"Bila benda baharu, mereka tunggu dan lihat terutama dengan banyak cerita yang bukan-bukan, jadi kita tak salahkan rakyat,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram