TINDAKAN melawan arus mengundang padah apabila seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tanjung, Bandar Utama di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa, 35, yang menunggang secara melawan arus bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda Accord sejurus tiba di lokasi kejadian sekitar jam 8.45 malam.
"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 melalui tempat kejadian sedang menunggang secara lawan arus lalu bertembung dengan sebuah kereta.
"Penunggang merupakan seorang lelaki tempatan disahkan maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan dan kematian.
"Kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014 2536820 untuk membantu siasatan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram