
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas lima komputer dan tiga komputer riba bernilai RM26,000 atas kesalahan menggunakan perisian cetak rompak.
Tiga serbuan berasingan dijalankan selama tiga hari, bermula Selasa hingga Khamis.
Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan, serbuan itu dilakukan bersama pihak pengadu daripada Business Software Alliance terhadap penggunaan perisian komputer yang dipercayai menggunakan perisian cetak rompak.
"Dalam serbuan pertama di sebuah syarikat kejuruteraan di George Town, kami merampas tiga buah komputer yang digunakan syarikat itu mengandungi salinan langgaran (perisian cetak rompak) iaitu Windows 10 Pro, Office Home and Business 2016, Solidware Premium 2020, Illustrator 2019 dan AutoCAD 2019.
"Serbuan kedua di sebuah syarikat perhiasan dalaman di Bayan Lepas, Pulau Pinang, kami menemukan dua komputer dan sebuah komputer riba mengandungi perisian Windows 7 Profesional, AutoCAD 2017, 3ds Max Design 2015, Recap 360 Pro, Photoshop CC, Illustrator CS6 dan Sketchup Pro 2016 yang dipercayai salinan langgaran," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, serbuan ketiga dijalankan di sebuah syarikat yang membuat komponen elektronik di George Town dan merampas dua komputer riba mengandungi salinan langgaran iaitu Windows 10 Home, Office Standard 2016, AutoCAD 2017, SolidWorks Premium 2017, AutoCAD 2011 for Mac, Excel for Mac, Word for Mac dan Powerpoint for Mac.
"Siasatan mendapati kesemua salinan langgaran yang digunakan syarikat-syarikat itu tidak mendapat kebenaran pemilik hak cipta yang sebenar dan kes disiasat menurut Akta Hak Cipta 1987," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram