100 ekor monyet disumbat dalam guni hidup-hidup


  • Benua
  • Jumaat, 18 Feb 2022

HAMPIR 100 ekor monyet ditemui dalam guni yang cuba diseludup di Thailand. — Agensi

HAMPIR 100 ekor monyet hidup diikat dalam guni-guni kecil ditemui di bangunan terbengkalai di bahagian tengah Thailand, lapor media negara itu pada Khamis.

Pihak berkuasa percaya dapat menggagalkan operasi pedagang haram hidupan liar terbabit.

Rakaman Nation TV menunjukkan polis dan para pegawai perlindungan hidupan liar di dalam bangunan di wilayah Saraburi itu mengandungi beg-beg jaring berwarna biru dengan monyet-monyet di dalamnya.

Video itu menunjukkan beberapa monyet cuba melarikan diri walaupun masih berada dalam beg-beg yang diikat dengan tali dan ikatan zip plastik.

Wirom Wanalee, seorang penduduk, memberitahu Nation TV, beliau dan jiran-jirannya mendengar jeritan monyet-monyet dan menjumpai hampir 100 monyet dalam bangunan tersebut.

Mereka melepaskan kebanyakan monyet itu dengan menggunting beg-beg tersebut sebelum melaporkan penemuan mereka itu kepada polis, kata Wirom.

Jabatan Taman Negara bagaimanapun masih belum memberi maklum balas.

Para pegawai daripada jabatan taman itu tiba untuk mengambil baki monyet dan membawa monyet-monyet itu ke pusat kuarantin hidupan liar berhampiran ibu kota Bangkok, menurut Nation TV.

Thailand dan Asia Tenggara mempunyai flora dan fauna paling pelbagai di dunia tetapi rantau itu turut mengalami pemburuan dan pemerdagangan haram meluas hidupan liar.

Pandemik menghentikan sebahagian besar perdagangan lumayan itu, tetapi ia kini semakin aktif semula selepas negara-negara menarik balik sekatan sempadan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

monyet, hidupan liar, seludup, thailand, guni, diikat