Polis teliti setiap kes OKT mati dalam tahanan


  • 112
  • Sabtu, 12 Feb 2022

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius setiap kes kematian dalam tahanan.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius setiap kes kematian dalam tahanan dan mengambil tindakan komprehensif bagi memastikan setiap kes disiasat secara teliti.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, pihaknya akan memajukan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi memastikan segala aspek siasatan dilengkapkan dengan mematuhi segala prosedur siasatan berhubung kes kematian dalam tahanan menurut Kanun Tatacara Jenayah dan Arahan Amalan Bilangan (2) Tahun 2019.

"Dalam konteks ini, amalan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya adalah bagi mendapatkan nasihat lanjut dan pandangan berhubung prosedur siasatan. Amalan ini bagi memastikan semua peruntukan undang-undang telah dipatuhi dan siasatan adalah lengkap,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya kertas siasatan yang lengkap akan dimajukan dengan kadar segera kepada Mahkamah Koroner untuk tindakan lanjut.

Pada Rabu lepas, polis mengesahkan terdapat tujuh kes kematian Orang Kena Tahan (OKT) dengan hanya satu kes melibatkan unsur jenayah.

Tujuh kes yang dilaporkan itu, empat daripadanya merupakan kematian dalam lokap dan dua lagi kes meninggal dunia di hospital manakala satu kes melibatkan kematian ketika OKT dalam perjalanan ke hospital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram