Warga emas serah diri, 14 tahun bersembunyi di Malaysia


  • Benua
  • Ahad, 16 Jan 2022

PENCURI berusia 62 tahun itu kembali ke Singapura untuk menyerahkan diri setelah melarikan diri selama 14 tahun ke Malaysia. — Gambar hiasan

SEORANG pencuri berusia 62 tahun kembali ke Singapura untuk menyerahkan diri kepada pihak berkuasa setelah bersembunyi selama 14 tahun di Malaysia.

Lelaki itu, Haron Ismail yang melarikan diri ke Malaysia membuat pengakuan di mahkamah dengan mengatakan dia berasa bersalah dan tidak tenteram sebelum memutuskan kembali ke Singapura untuk menyerahkan diri pada tahun 2017.

Dia dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dan sembilan bulan atas jenayahnya oleh Mahkamah Singapura pada 14 Januari (Jumaat) lalu, demikian menurut laporan Channel News Asia.

Haron mengaku bersalah atas tiga tuduhan pecah rumah untuk mencuri dan merompak pada sebelah malam, dengan tiga lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah mendapati Haron bersubahat dengan dua lelaki lain, Abdul Karim Mohamed dan Rusli Awang yang sudahpun diberkas pada tahun 2003.

Pada 24 November 2002, ketiga-tiga lelaki itu pergi ke bangunan Yen San di 268 Orchard Road untuk memecah masuk pejabat dan mencuri wang tunai.

Abdul Karim mencuri peti besi yang mengandungi wang tunai sebanyak S$20,000 (RM62,000) daripada sebuah pejabat di bangunan tersebut sementara Haron menunggu di dalam sebuah van di tempat letak kereta manakala Rusli pula bertindak selaku pemerhati.

Dalam kejadian lain, pada 5 Januari 2003, ketiga-tiga lelaki itu memasuki Adelphi Building di 1 Coleman Street dengan niat untuk memecah masuk pejabat dan mencuri wang tunai.

Abdul Karim mengumpil pintu pejabat menggunakan pahat untuk mencuri peti besi benilai S$500 (RM1,550), mata wang asing bernilai S$10,000 (RM31,000) dan dua syiling emas bernilai S$2,000 (RM6,200).

Pada 29 April 2003, ketiga-tiga lelaki itu melakukan jenayah serupa di Great World City, dengan Haron menunggu dalam van dan Rusli bertindak sebagai pemerhati ketika Abdul Karim memecah masuk pejabat untuk mencuri S$127.25 (RM394.51) dan sejumlah dokumen.

Haron bagaimanapun melarikan diri ke Malaysia pada Mei tahun 2003 dan tidak pulang ke Singapura untuk mengelak diri daripada ditangkap.

Pada 3 Julai 2017, Haron bagaimanapun memutuskan untuk pulang ke Singapura dan menyerahkan diri di Pusat Pemeriksaan Woodlands sebelum diberkas dan dibebaskan dengan ikat jamin polis sehari kemudian.

Bagi kesalahan pecah rumah untuk melakukan kecurian, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan dikenakan hukuman sebatan.

Bagaimanapun, Haron tidak boleh disebat disebabkan oleh usianya yang melebihi 50 tahun. — Agensi