Kes pecah masuk pejabat Umno Mersing disyaki ada unsur khianat


  • Politik
  • Isnin, 14 Feb 2022

RINA Farhana menunjukkan laporan polis berhubung kes pecah masuk pejabat Umno Bahagian Mersing, pada malam Ahad. — Sinar Harian

SEBUAH beg mengandungi dokumen penting dan bahan untuk digunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dicuri selepas Pejabat Umno Bahagian Mersing di Jalan Ismail, Mersing, Johor dipecah masuk dipercayai pada malam Ahad.

Ketua Puteri Umno Bahagian Mersing, Rina Farhana Abdullah berkata, beg itu mengandungi data PRN Johor, enam unit telefon bimbit, simkad, baucar sagu hati petugas dan satu fail berisi senarai nama petugas serta laporan sikap petugas.

"Dokumen ini akan digunakan untuk PRN yang akan berlangsung pada 12 Mac ini. Kejadian ini menimbulkan tanda tanya.

"Saya syak kejadian ini lebih kepada unsur sabotaj atau khianat kerana beberapa unit komputer riba yang berada berdekatan beg berkenaan yang hilang tersebut tidak dicuri," katanya ditemui pemberita di pejabat itu pada Isnin.

Rina Farhana tidak mengesyaki sesiapa, namun laporan polis sudah dibuat pada Isnin dan berharap pihak berkuasa segera melakukan siasatan.

Kejadian tersebut disedari semasa beliau dan seorang kerani lelaki mahu memulakan tugas pada pukul 8 pagi.

"Kami dapati pintu utama yang terletak di tangga masuk tidak berkunci sedangkan pada pukul 6 petang semalam (Ahad) pintu utama dan pintu masuk pejabat telah dikunci oleh kerani kerana pejabat tutup.

"Saya juga dapati pintu pejabat telah dipecah. Keadaan dalam pejabat adalah masih berada dalam keadaan biasa sebelum pemeriksaan mendapati beg berkenaan telah hilang," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram