Patutlah tergamak 'kerjakan' bapa tiri, rupanya tak dapat duit beli dadah di Yan


  • 112
  • Selasa, 15 Feb 2022

TANGKAP layar rakaman video suspek memukul ayah tirinya yang tular di media sosial. — Facebook/Taa Qyum

SEORANG bapa mengalami bengkak di telinga kiri akibat ditumbuk anak tiri lelaki dalam kejadian di Kampung Ruat, Yan, Kedah kira-kira pukul 8.30 pagi pada Selasa.

Selain itu, mangsa berusia 72 tahun turut mendakwa ditumbuk di kepala dan ditendang di dada serta muka oleh anak tiri berusia 29 tahun dipercayai akibat tidak diberikan wang untuk mendapatkan bekalan dadah.

Ketika kejadian, mangsa bersama isteri berada dalam rumah sebelum didatangi suspek dan mengamuk.

RAKAMAN tular video lelaki itu memukul ayahnya.

Video berdurasi 30 saat yang merakamkan perbuatan suspek kini tular di media sosial sehingga meraih lebih 190,000 tontonan dan 6,000 komen.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian dikatakan bermula di bahagian ruang tamu rumah.

Menurutnya, suspek telah masuk ke dalam rumah untuk meminta wang namun mangsa enggan menuruti kehendaknya.

"Akibat rasa marah, suspek dipercayai tumbuk di belakang kepala sebelah kiri menyebabkan telinga kiri mangsa sakit. Kejadian menyebabkan mangsa dan isteri keluar dan duduk di bahagian luar rumah.

"Namun, ketika suspek ingin keluar dari rumah, dia dipercayai menendang belakang badan bapa tiri itu dengan memakai kasut getah,"katanya.

Menurut Shahnaz, doktor yang merawat mangsa mengesahkan warga emas itu mengalami bengkak di telinga kiri akibat ditumbuk.

Suspek bagaimanapun berjaya diberkas pada pukul 6.45 petang di kawasan Lubuk Boi, Yan untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, maklumat diperolehi mengesahkan suspek seorang pesakit mental dan merupakan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU).

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Pukul bapa, anak tiri, OKU, mental, Yan, Kedah