Tiada sindiket dalangi aktiviti mengemis


  • Primer
  • Rabu, 16 Feb 2022

KEGIATAN mengemis sejak akhir-akhir ini dilihat semakin agresif dan mengganas khususnya di kawasan sekitar Lembah Klang. — Bernama

APA sudah jadi? Mungkin itu persoalan yang membelenggu masyarakat negara ini akan polemik kegiatan mengemis sejak akhir-akhir ini yang dilihat semakin agresif dan mengganas khususnya di kawasan sekitar Lembah Klang.

Apabila tular di media sosial aksi seorang kanak-kanak dipercayai etnik Rohingya meminta sedekah dengan agresif termasuk menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna jalan raya sekitar ibu kota, membuatkan ramai ‘tersentak’ dengan trend mengemis di negara ini yang semakin berevolusi dan membimbangkan.

Insiden tersebut turut menarik perhatian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan memberi amaran kepada warga Rohingya khususnya pemegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) agar tidak melanggar undang-undang negara ini.

Malah, masyarakat juga membangkitkan pelbagai andaian daripada insiden tersebut sehingga beranggapan wujudnya aktiviti mengemis yang didalangi sindiket beroperasi dengan mengeksploitasikan golongan lemah, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kanak-kanak untuk keuntungan pihak tertentu.

Namun, hasil risikan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman berjaya membongkarkan sisi sebenar aktiviti ini yang langsung tidak didalangi oleh mana-mana sindiket!

Intipan selama lebih sebulan di kawasan-kawasan tumpuan pengemis sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam menunjukkan tiada elemen kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang melibatkan eksploitasi mahupun paksaan terhadap golongan pengemis.

Malah, hasil pemeriksaan dan soal siasat yang dijalankan polis mendapati tiada individu yang berperanan sebagai ketua sindiket atau orang tengah kepada pengemis tersebut.

Bernama yang turut serta dalam risikan selama dua hari yang dilakukan bersama D3 Atipsom melihat dengan jelas modus operandi pengemis secara dekat yang menggunakan pelbagai taktik bagi meraih simpati.

Ini termasuk mereka yang menggunakan anak-anak kecil, warga emas, kecacatan selain ada juga yang menipu pura-pura susah atau sakit bagi mendapatkan hasil sumbangan orang ramai.

Operasi khas Op Pintas Bersepadu (Pengemis) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 9 Februari lalu mendapati kebanyakan pengemis menjadikan perbuatan tersebut secara ‘sukarela’ sebagai pekerjaan mereka untuk mendapatkan wang bagi kelangsungan hidup.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian (D3) Atipsom Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Fadil Marsus berkata, operasi yang dijalankan selama empat hari itu bagi mengenal pasti jika terdapat elemen kesalahan TIP (eksploitasi buruh paksa) dalam kalangan pengemis, peminta sedekah, OKU, OKU penglihatan serta pengemis warga asing yang menjadi sasaran atau mangsa dipergunakan pihak-pihak tertentu.

"Apa yang kita dapati daripada hasil intipan dan siasatan, pengemis menjadikan perbuatan mengemis untuk kelangsungan hidup.

"Ada sesetengah pengemis telah mendapat bantuan zakat, Baitulmal dan juga JKM, malah ada pengemis tersebut yang pernah ditangkap sebelum ini oleh JKM,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama selepas tamat Operasi Op Pintas Bersepadu (Pengemis).

Seramai 133 pengemis telah disiasat dalam operasi yang dibahagikan kepada beberapa zon antaranya Kuala Lumpur, Shah Alam, Ampang dan Klang melibatkan 75 rakyat tempatan dan selebihnya warga asing seramai 58 orang.

Antara warga asing yang disiasat melibatkan warga Rohingya seramai 20 orang, Indonesia (14), Kemboja (13), Myanmar (5), Bangladesh (2), Pakistan (2) serta England dan China masing-masing seorang.

Fadil menjelaskan, daripada 133 pengemis yang telah disiasat, paling ramai melibatkan lelaki iaitu seramai 74 orang, 41 wanita dan 18 kanak-kanak.

"Sementara itu, 26 berjaya diselamatkan iaitu 12 orang dewasa yang diletakkan di bawah (Perintah Pelindungan Sementara) manakala 14 orang kanak-kanak diserahkah kepada pegawai pelindung JKM, sementara 46 orang diberikan amaran.

"Selain itu, daripada 58 pemeriksaan yang dijalankan ke atas pengemis warga asing, 29 daripada mereka ditahan di bawah Akta Imigresen manakala 29 lagi dibebaskan kerana memiliki dokumen,” katanya.

Sebahagian besar pengemis yang ditahan diambil tindakan di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pungutan Derma Rumah Ke Rumah dan Jalan 1947 serta Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (LN 165/59).

Jelas beliau, walaupun membanteras aktiviti mengemis bukan tugas utama D3, namun pihaknya mengambil langkah proaktif berikutan kebimbangan ramai terhadap aktiviti ini sehingga menimbulkan rasa kurang selesa masyarakat selain mengganggu ketenteraman awam.

Fadil mengakui, bukan mudah menghapuskan sepenuhnya aktiviti mengemis di negara ini berikutan sikap pengemis itu sendiri yang mengambil jalan mudah untuk mendapatkan sumbangan orang ramai.

Ditambah dengan sikap pemurah rakyat Malaysia, menjadikan golongan pengemis semakin bertambah sekali gus membangkitkan persoalan apakah negara mampu menangani polemik yang sudah lama berakar umbi ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram