AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dipilih sebagai calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.
Pengumuman berkenaan dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pengumuman calon PKR untuk Zon Tengah.
Beliau berkata, nama-nama calon bagi kerusi DUN Rengit, Tenggaroh, Benut, Kukup dan Semarang yang sepatutnya diumumkan petang Isnin, akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, beliau terharu dengan pemilihannya sebagai calon di kawasan itu dan kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan parti.
"Apa sahaja tanggungjawab atau kepercayaan diberikan, saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin dengan jentera dan penyokong yang kita ada di Parlimen Simpang Renggam kerana DUN Layang-Layang adalah DUN di bawah parlimen itu,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman berkenaan di Batu Pahat, Johor pada Isnin.
Terdahulu, Maszlee yang baru menyertai PKR pada 27 November lepas, menjadi calon keenam yang diumumkan oleh Anwar untuk PRN Johor pada Isnin.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi DUN Layang-Layang dimenangi Datuk Onn Hafiz Ghazi dari Barisan Nasional (BN) yang mengalahkan MS Murugan dari PH dengan majoriti 364 undi. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram