Gajah masuk kem Sri Banding, Perhilitan Perak perjelas keadaan sebenar


  • Primer
  • Selasa, 15 Feb 2022

TANGKAP layar video tular seekor gajah masuk ke Kem Sri Banding dipercayai mahu mencari makanan. — Facebook

KEROSAKAN pagar elektrik di Kem Sri Banding, Gerik, Perak dipercayai menjadi punca seekor gajah memasuki kawasan itu seperti yang tular menerusi rakaman video pada Isnin.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima laporan mengenai pecerobohan haiwan liar itu pada kira-kira pukul 3 petang.

"Punca gajah tersebut masuk mungkin disebabkan kerosakan pagar elektrik kem berkenaan.

"Pihak Perhilitan Daerah Gerik akan membantu dan memberi nasihat kepada pihak kem bagi kerja-kerja baik pulih,” katanya.

RAKAMAN video tular seekor gajah masuk ke Kem Sri Banding dipercayai mahu mencari makanan. — Facebook

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan gajah berkenaan.

Pada Isnin, tular beberapa video yang menunjukkan seekor gajah dipercayai mencari makanan dalam kem milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang dilihat turut merosakkan peralatan kawasan itu.

Yusoff berkata, pihak Perhilitan percaya haiwan liar itu adalah gajah sama yang selalu pergi ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran Puncak Titiwangsa, Gerik untuk mencari makanan.

"Gajah ini sudah biasa dengan manusia dan biasa makan sisa manusia,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram