SEORANG penganut Hindu mengingatkan orang ramai supaya berpakaian sopan ketika berkunjung ke Kuil Sri Subramaniam, di Batu Caves, Selangor.
Lelaki warga emas yang hanya dikenali sebagai Rajan itu berkata, ini kerana kuil tersebut merupakan tempat ibadat mereka yang mempunyai kesuciannya tersendiri.
"Orang luar tak faham dia buat tak senonoh pakaiannya. Datang joging memang (tindakan) tak betul la. Kalau nak joging ada tempat lain, nak hiking (mendaki) boleh pergi ke belakang..
"Tapi ni tempat sembahyang, kena disiplinlah sikit. Kena pakaian betul (ketika) masuk temple (kuil)," katanya kepada Majoriti.
Memberi contoh masjid, Rajan berkata, rumah ibadat itu juga ada larangannya yang mana ia tidak boleh dikunjungi oleh semua orang.
Tambahan pula, katanya, pakaian ketika solat juga mempunyai syarat sendiri termasuk tidak dibenarkan memakai skirt pendek.
"Orang India pun ada tatatertib sendiri. Sebab tu dia (pengunjung) kena ikut SOP (prosedur operasi standard). SOP bukan hanya ketika Covid-19 sahaja, kuil pun ada SOP sendiri.
"Kalau nak datang boleh, tapi ramai yang pakai skirt pendek dan seluar pendek. Perkara ini tidak patut kerana kita perlu hormat orang dan rakyat Malaysia hormat satu sama lain," katanya.
Sementara itu, seorang wanita berbangsa India yang enggan dikenali juga berkata, lebih baik menanggalkan kasut atau selipar ketika menaiki tangga kuil tersebut, berdasarkan adat resam agama mereka.
Meskipun ada pengunjung yang tidak berbuat demikian ketika berjoging atau mendaki tangga kuil berkenaan, namun tiada apa yang boleh dibantahnya.
"Kalau ikutkan tak hormat. Kalau orang Melayu masjid (kena) tanggalkan kasut, macam tu juga kita sebab kita tanggalkan dekat luar. Bersihkan diri mereka dan naik sembahyang," jelasnya.
Pada masa sama, seorang wanita warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Auntie berkata, kuil berkenaan adalah tempat suci untuk beribadat.
Katanya, pengunjung yang datang berjoging dan memakai baju sukan adakalanya disifatkan sebagai kurang sempurna.
"Tempat untuk sembahyang ni sepatutnya dihormati. Agama kaum Melayu, Cina dan India mesti dihormati.
"Melawat okay sebab kita akan tahu agama lain macam mana, cuma tak sesuai untuk joging," katanya.
Malah, seorang lagi wanita Hindu yang enggan dikenali berkata, kawasan kuil berkenaan tidak sesuai dijadikan tempat beriadah kerana ia dibangunkan sebagai tempat beribadat bagi agama itu.
Katanya, sekiranya kawasan itu dijadikan tempat mendaki, orang ramai akan keliru tujuan pembangunan tempat itu.
"Sebab ada orang datang untuk menunaikan ibadat tapi ada juga hanya datang sahaja dan bising.
"Yang hiking mestilah nak berseronok, tapi orang yang datang nak menunaikan doa (sembahyang) mesti nak tempat yang senyap, sunyi dan boleh fokus. Jadi saya rasa tak sesuai (dijadikan tempat beriadah)," katanya.
Terdahulu, seorang penganut Hindu tidak berpuas hati terhadap individu yang menjadikan Kuil Sri Subramaniam itu sebagai tempat beriadah.
Menerusi hantaran Facebook Sam Gv pada Ahad, dia berharap supaya rakyat Malaysia lebih peka dengan fungsi kawasan ibadah dan menghormati penganut yang hadir ke Batu Caves untuk bersembahyang.
"Saya berada di kuil (Batu Caves) setiap pagi Ahad dan hari ini saya benar-benar tidak dapat menerimanya, jadi saya pergi ke kaunter dan bercakap dengan salah seorang wanita di situ.
"Saya bertanya kepadanya mengapa tiada tindakan yang diambil terhadap mereka yang berjoging di sini. Katanya, pihak kuil sudah menegur golongan tersebut tetapi ramai yang masih melakukannya.
"Saya bertanya mengapa tidak diletakkan sebarang papan tanda tetapi menurutnya papan tanda yang pernah diletakkan sebelum ini tidak dinaikkan semula selepas pengubahsuaian kuil," katanya — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram