Tujuh rakyat Malaysia terkandas akhirnya dibenar masuk Filipina


  • Primer
  • Isnin, 14 Feb 2022

WISMA Putra mengesahkan jumlah sebenar rakyat Malaysia yang terkandas ialah tujuh dan bukan 13 orang seperti dilaporkan. — Agensi

KESEMUA tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila akibat kelayakan vaksin Covid-19 digital mereka tidak diiktiraf pihak berkuasa Filipina, sudah dibenarkan memasuki republik itu.

"Sukacita Wisma Putra memaklumkan bahawa tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino telah dibenarkan memasuki Filipina.

"Ini berikutan tindakan pantas Kedutaan Malaysia di Manila. Kudos team @myembassymanila,” ciap Kementerian Luar menerusi akaun Twitter rasminya pada Isnin.

Terdahulu, laporan menyatakan 13 rakyat Malaysia terkandas di lapangan terbang berkenaan, bagaimanapun, Wisma Putra mengesahkan jumlah sebenar ialah tujuh orang dan bukan seperti dilaporkan.

Mereka tidak dibenarkan masuk ke republik itu dan dimaklumkan bahawa sijil vaksin digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera bukanlah bukti vaksinasi yang boleh diterima.

Pengembara berkenaan memaklumkan kepada media Malaysia bahawa pasport mereka turut dirampas dan akan dihantar pulang pada Selasa, selain terpaksa menunggu di lapangan terbang kerana tiada kemudahan hotel disediakan.

Laporan itu juga menyatakan Duta Malaysia ke Filipina telah bertemu pengembara berkenaan di lapangan terbang dan mengemukakan rayuan timbal balik vaksinasi, namun belum menerima maklum balas daripada pihak berkuasa Filipina setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram