JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengenakan kompaun RM10,000 terhadap sebuah kilang memproses makanan di Butterworth kerana menyebabkan pencemaran apabila sisa kilang yang tidak terawat dibuang terus ke parit awam, pada Isnin.
Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, terdahulu pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung pencemaran sungai yang airnya bertukar warna putih, sebelum menjalankan pemeriksaan serta siasatan.
"Pihak JAS menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran dan turut menggunakan dron di sekitar kawasan yang disyaki terlibat. Siasatan itu membawa kepada pemeriksaan ke sebuah kilang berasaskan makanan yang dipercayai menjadi punca.
"Pemeriksaan lanjut mendapati kilang itu gagal mengendalikan sistem pengolahan efluen (sisa buangan cecair) perindustrian dengan baik hingga mencemarkan parit awam dan gagal mematuhi pengurusan buangan terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (buangan terjadual) 2005," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, berikutan itu JAS Pulau Pinang mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (efluen perindustrian) 2009, selain turut mengarahkan kilang itu mengambil tindakan serta merta bagi menghentikan sebarang pelepasan efluen tanpa dirawat.
"Selain itu, pihak kilang turut diarah menaik taraf sistem pengolahan efluen sedia ada yang terdapat di premisnya,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram