Pengguna mengadu status MySejahtera tidak dikemaskini


  • Massa
  • Jumaat, 11 Feb 2022

KERAJAAN mengumumkan mereka yang tidak mengambil dos penggalak khususnya penerima Sinovac bermula 1 Mac bagi mengelakkan status vaksin batal. — Facebook

SEORANG pembaca terpanggil untuk berkongsi kisah bagaimana dia berdepan masalah menggunakan aplikasi MySejahtera.

Menurut individu yang hanya dikenali sebagai BKI, dia menerima dua dos suntikan di Malaysia dan mendapatkan dos penggalak di luar negara.

Dia kembali ke Malaysia pada Disember 2021 dan sejak itu menghubungi dan mengunjungi pelbagai agensi untuk mendapatkan maklumat dos penggalak dikemaskini dalam aplikasi MySejahtera.

"Saya menghubungi Helpdesk dalam aplikasi itu dan menyerahkan semua maklumat yang dikehendaki sebanyak tiga kali, namun tiada apa yang berubah.

"Saya ke luar negara baru-baru ini dan sekembalinya di Malaysia, saya menjalani kuarantin.

"Di lapangan terbang, bukti fizikal untuk mendapatkan dos penggalak diterima tetapi aplikasi MySejahtera tidak menunjukkan sebarang perubahan.

"Oleh itu, tempoh kuarantin saya ditetapkan selama tujuh hari berbanding lima untuk mereka yang menerima dos penggalak.

"Pegawai yang bertugas di lapangan terbang berkata ia akan berubah secara automatik tetapi seperti dijangka, tidak.

"Pada hari kelima kuarantin, saya menerima dos penggalak dan sepatutnya sudah 'dibebaskan'. Namun status saya tidak bertukar kerana maklumat dos penggalak tidak dikemaskini pada aplikasi MySejahtera.

"Ekoran itu, saya dikuarantin secara tidak wajar untuk tempoh dua hari lagi.

"Ini soalan saya: Pada I Mac kelak, status saya mungkin akan menunjukkan 'tidak divaksin sepenuhnya' dan saya akan kehilangan kebebasan yang saya perlukan untuk menjalani kehidupan normal.

"Wajarkah saya mendapatkan dos penggalak kedua supaya saya dibenarkan mendapat akses kepada kemudahan dan perkhidmatan?

"Sekiranya saya sakit akibat pengambilan dos penggalak kedua, yang ketika ini belum diwajibkan, adakah Kementerian Kesihatan (KKM) akan bertanggungjawab? Begitu banyak persoalan tanpa jawapan.

"Saya tidak bersendirian dalam situasi ini, terdapat ratusan orang lagi mengalaminya, menurut pegawai di Jabatan Kesihatan Kelana Jaya di Petaling Jaya, Selangor.

"Adakah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin alpa akan isu ini? Masalah itu mungkin nampak kecil tetapi boleh menimbulkan masalah besar kepada mereka yang terjejas.

"Bolehkah tindakan afirmatif dilakukan untuk menyelesaikan masalah berhubung MySejahtera?" katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram