CADANGAN Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk membuka kembali pintu sempadan negara seawal 1 Mac ini belum dibincangkan di peringkat Kabinet, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, setakat ini Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum memberikan maklum balas mengenai cadangan itu kepada Kabinet untuk dinilai.
"Kita mesti seimbangkan antara nak menjaga industri pelancongan dan kesihatan rakyat, maka KKM akan melihat secara terperinci dan beri cadangan kepada Kabinet nanti apa yang patut dilakukan seterusnya.
"Setakat hari ini kita masih tutup sempadan kita... belum ada perbicangan lagi untuk buka," katanya yang juga Naib Presiden Umno ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang di Dewan Putra Padang Lerek di Tangkak, Johor pada Jumaat.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua Umno bahagian Ledang, Datuk Hamim Samuri.
Pada 8 Februari lalu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, MPN bersetuju mengesyorkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan setakat ini hanya membuka sempadan Malaysia-Singapura di Johor menggunakan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL).
Menurutnya, kerajaan sedar dengan keluhan pengusaha industri pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19, namun beliau tidak mahu kemasukan pelancong asing ke dalam negara akan meningkatkan kes dalam negara.
"Ada kawan-kawan masa saya (bertugas sebagai menteri) di Kementerian Pelancongan, kawan-kawan saya kata tak boleh survive, pemandu pelancong, dia bergantung kepada pendapatan dia bawa pelancong. Sekarang ni tidak ada (pelancong), mereka tidak boleh survive.
"Mungkin kita melihat sekarang ini kerajaan masih bantu (dari segi) subsidi upah gaji kepada pekerja-pekerja tapi kita bayar tak banyak, cuma RM600. Maknanya itu untuk membantu tapi tak tahu berapa lama mereka boleh survive.
"Itu akhirnya kita mungkin akan buka sempadan tapi bila nak buka itu kita terpaksa dapat nasihat daripada KKM sebab betul, kita nak buka sempadan sebab nak bantu industri pelancongan, tapi kita juga mahu jaga kesihatan rakyat negara kita. Kalau yang datang pelancong membawa jangkitan ia lebih mempercepat pertambahan kes dan membahayakan kesihatan rakyat kita," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram