Situasi semasa Covid-19 tahun ini berbeza


  • Primer
  • Jumaat, 11 Feb 2022

BILANGAN kes baharu Covid-19 yang dilaporkan pada Jumaat ialah sebanyak 20,939. — Bernama

SITUASI kes Covid-19 yang meningkat mendadak kepada angka yang hampir sama pada bulan Ogos dan September tahun lalu adalah jauh berbeza, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong.

Beliau berkata, walaupun bilangan kes baharu yang dilaporkan pada Jumaat ialah 20,939, data terkini menunjukkan hanya 1,637 kes dimasukkan ke wad manakala 158 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kurang daripada 10 kematian dilaporkan.

"Bilangan kes Covid-19 yang dilapor menunjukkan peningkatan pada 11 Ogos 2021 ialah 20,780 dengan 2,928 kes dimasukkan ke wad manakala 1,547 dirawat di ICU dan 332 kematian dilaporkan.

"Vaksinasi yang tinggi dan kadar pemberian dos penggalak yang meningkat merupakan faktor penting yang menyumbang kepada situasi semasa yang lebih baik," menurut Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Pantas Covid-19 Kebangsaan itu dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, situasi semasa kapasiti katil Covid-19 adalah mencukupi dan mampu menampung jumlah pesakit kerana bilangan kes dalam kategori tiga, empat dan lima adalah kurang daripada satu peratus.

Jelasnya, individu yang dipantau di rumah melalui Pusat Penilaian Covid-19 Maya (VCAC) meningkat dengan mendadak ketika ini iaitu 100,000 orang berbanding 30,000 tiga minggu lepas.

"Mengambil kira langkah-langkah yang telah diambil sepanjang enam bulan lepas dalam memperkukuh VCAC, Kementerian Kesihatan (KKM) kini mempunyai keupayaan meningkatkan kapasiti untuk memantau individu yang menjalani isolasi atau perintah pengawasan dan pemantauan di rumah," katanya.

Kata Dr Chong, KKM akan meningkatkan kapasiti pemantauan kepada 200,000 individu menjelang minggu depan.

"Walaupun vaksinasi bukan merupakan jalan keluar utama daripada krisis ini, ia bagaimanapun dapat membantu mengelakkan jangkitan yang lebih teruk dan mengurangkan impak krisis," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram